Kanser prostat merupakan antara kanser yang banyak dihadapi lelaki di Malaysia dengan 63.3 peratus daripada kes yang diketahui tahapnya didiagnosis pada Tahap III atau IV, menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017 hingga 2021.

LAC Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, angka berkenaan menunjukkan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki, khususnya berkaitan perubahan pada sistem urinari yang sering dianggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan.
Menurutnya, kesedaran tersebut turut diterapkan menerusi acara LAC Community yang berlangsung di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang pada November ini dengan menggabungkan pendidikan kesihatan, aktiviti fizikal dan pemeriksaan kesihatan.
Program itu menghimpunkan hampir 100 peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk larian komuniti sejauh lima kilometer bersama Wind Runners, kejohanan pickleball berpasukan khas untuk lelaki serta sesi mobiliti sendi berpandu yang dikendalikan Adrian Loh.

Peserta turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan Pantai Hospital Klang, selain menyertai aktiviti yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan mengeratkan hubungan komuniti.
Dalam usaha memperluas kesedaran di luar program berkenaan, LAC Malaysia turut bekerjasama dengan Prince Court Medical Centre bagi menghasilkan siri video pendidikan untuk saluran media sosial LAC Malaysia.
Siri berkenaan menampilkan Dr Datesh Daneshwar, Pakar Urologi Perunding di Prince Court Medical Centre yang membincangkan salah faham berkaitan kesihatan prostat dan sistem urinari serta kepentingan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami perubahan atau gejala yang membimbangkan.
Dr Datesh berkata, rasa malu dan segan masih menjadi antara faktor yang menyebabkan sebahagian lelaki keberatan mendapatkan bantuan perubatan.
Katanya, lelaki tidak seharusnya berdiam diri, bergantung sepenuhnya kepada carian dalam talian atau cuba merawat sendiri gejala yang dialami kerana tindakan berkenaan boleh melambatkan proses diagnosis dan rawatan yang sewajarnya.
“Proses penuaan mungkin menyebabkan perubahan pada corak pembuangan air kecil, namun gejala yang berterusan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang perlu diterima begitu sahaja. Nasihat saya mudah: jangan tunggu sehingga gejala berkaitan sistem urinari menjadi terlalu serius sebelum mendapatkan bantuan,” katanya.
Menurut beliau, antara gejala yang memerlukan pemeriksaan termasuk kerap membuang air kecil, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil, sukar memulakan aliran air kencing, aliran air kencing yang semakin lemah, desakan untuk membuang air kecil, ketidakselesaan ketika membuang air kecil serta sakit berpanjangan di bahagian pelvis.
Jelasnya, gejala berkaitan saluran kencing tidak semestinya berpunca daripada pembesaran prostat kerana keadaan seperti keradangan, disfungsi otot lantai pelvis atau sindrom sakit pelvis kronik juga boleh menyebabkan gejala yang sama.
Beliau berkata, masalah berkaitan saluran kencing bukan hanya melibatkan lelaki berusia kerana beliau turut menerima pesakit dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun yang mengalami gejala berkenaan.
Dr Datesh turut menjelaskan bahawa pembesaran prostat tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kanser prostat, manakala saiz prostat semata mata tidak menentukan risiko seseorang untuk menghidap kanser.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa gejala yang memerlukan perhatian perubatan dengan segera termasuk ketidakupayaan untuk membuang air kecil, darah yang kelihatan dalam air kencing walaupun berlaku sekali tanpa rasa sakit serta gejala saluran kencing yang disertai demam dan menggigil.
Mengenai saringan kanser prostat, Dr Datesh berkata antigen spesifik prostat atau PSA merupakan sejenis protein yang dihasilkan oleh kelenjar prostat.
Menurutnya, ujian darah untuk mengukur tahap PSA boleh membantu mengenal pasti lelaki yang mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut.
“PSA adalah spesifik kepada prostat, bukannya khusus kepada kanser,” jelasnya sambil mengingatkan supaya keputusan ujian PSA tidak ditafsirkan secara berasingan.
Katanya, keputusan untuk menjalani saringan perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk usia, sejarah keluarga, keputusan ujian PSA terdahulu dan tahap risiko individu sebelum dibincangkan bersama doktor.
Dr Datesh menyarankan lelaki dalam lingkungan usia 40 hingga 50 tahun yang mempunyai risiko supaya mendapatkan nasihat berkaitan saringan PSA.
Lelaki yang mempunyai bapa atau saudara lelaki yang pernah menghidap kanser prostat juga disarankan mendapatkan khidmat nasihat doktor.
“Jangan anggap gejala sebagai perkara biasa hanya kerana usia semakin meningkat, dan jangan berasa malu untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Selain pemeriksaan kesihatan, Dr Datesh turut menggalakkan lelaki supaya lebih aktif bergerak kerana duduk terlalu lama boleh memburukkan ketidakselesaan di bahagian pelvis.
Beliau menyarankan lelaki mengambil rehat secara berkala daripada posisi duduk serta mengamalkan aktiviti sederhana seperti berjalan kaki dalam rutin harian.
Sementara itu, Pakar Perunding Nutrisi LAC Malaysia, Cynthia Jetan berkata, keperluan nutrisi lelaki turut berubah seiring peningkatan usia berikutan perubahan metabolisme, jisim otot dan tahap aktiviti fizikal.
Katanya, lelaki perlu lebih peka terhadap keperluan nutrisi bagi mengekalkan kesihatan, termasuk mengamalkan pemakanan seimbang serta pengambilan nutrien dan ramuan botani yang menyokong kesihatan prostat.
“Seiring pertambahan usia, lelaki perlu lebih peka terhadap keperluan nutrisi bagi mengekalkan kesihatan. Amalan pemakanan seimbang, di samping pengambilan nutrien dan ramuan botani yang menyokong kesihatan prostat, memainkan peranan dalam mengekalkan kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, antara ramuan yang lazim digunakan dalam formulasi produk kesihatan prostat termasuk saw palmetto, likopena, zink, beta sitosterol dan minyak biji labu.
Menurutnya, saw palmetto sering digunakan untuk membantu menyokong gejala saluran kencing berkaitan pembesaran prostat, manakala likopena merupakan antioksidan yang membantu melindungi sel prostat daripada tekanan oksidatif.
Zink pula menyokong fungsi normal prostat, kesihatan reproduktif dan pertumbuhan sel, manakala beta sitosterol serta minyak biji labu boleh membantu menyokong fungsi saluran kencing dan kesihatan prostat seiring peningkatan usia.
Bagaimanapun, Cynthia menegaskan bahawa suplemen seharusnya melengkapi gaya hidup sihat dan bukannya menggantikan diagnosis atau rawatan perubatan.
Katanya, lelaki yang mengalami gejala saluran kencing secara berterusan perlu mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.
“Anda tidak perlu mengubah gaya hidup secara drastik dalam sekelip mata. Mulakan dengan membuat pilihan yang lebih baik setiap hari, kekal aktif dan peka terhadap sebarang perubahan pada kesihatan diri. Langkah kecil yang dilakukan secara konsisten boleh membawa perubahan positif seiring peningkatan usia,” katanya.
Dalam pada itu, pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan Pantai Hospital Klang sempena acara berkenaan turut menawarkan pemeriksaan tekanan darah, glukosa, ECG dan InBody secara percuma.
Pemeriksaan kolesterol turut disediakan secara percuma untuk 20 peserta pertama.
LAC Malaysia berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada peserta memahami keadaan kesihatan diri dengan lebih baik selain mengukuhkan kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Menerusi LAC Community, LAC Malaysia terus menggabungkan perkongsian maklumat kesihatan daripada pakar, panduan nutrisi dan aktiviti fizikal bagi menggalakkan lelaki berbicara secara lebih terbuka mengenai kesihatan serta menjadikan amalan kesejahteraan sebahagian daripada rutin harian.

