Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KUSKOP Himpunkan 300 Peserta Dalam KEPS 2026, Perusahaan Sosial Tempatan Bakal Jadi Tumpuan

KUSKOP
Logo KUSKOP

KUSKOP Himpunkan 300 Peserta Dalam KEPS 2026, Perusahaan Sosial Tempatan Bakal Jadi Tumpuan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menghimpunkan pemain industri, usahawan dan pelbagai pihak berkepentingan menerusi Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial 2026 (KEPS 2026) sebagai usaha memperkukuh keterlihatan serta impak perusahaan sosial (PS) di Malaysia.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, penganjuran konvensyen itu selaras dengan fokus pemerkasaan sektor ketiga yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kredit: KUSKOP

Menurut KUSKOP, majlis perasmian KEPS 2026 akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, pada 30 Julai di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor.

Konvensyen itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada usahawan sosial, pakar dan pengamal industri, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi pembangunan perusahaan sosial serta pelbagai pihak berkepentingan.

Ujarnya, KEPS 2026 akan menjadi platform utama yang menghubungkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat bagi memperkukuh ekosistem perusahaan sosial negara.

Antara fokus utama konvensyen ialah meneroka peluang perolehan berimpak sosial (social impact procurement) dalam sektor kerajaan, swasta dan korporat, selain menjadi medan perkongsian ilmu serta pameran khas berkaitan perusahaan sosial.

Menurut KUSKOP, penganjuran KEPS 2026 dibahagikan kepada tiga segmen utama.

Segmen pertama ialah Forum dan Perkongsian Kisah Kejayaan Perusahaan Sosial yang akan berlangsung pada 30 Julai di Hotel Royale Chulan Damansara.

Forum tersebut menampilkan tiga sesi perbincangan melibatkan topik Social Procurement: Business Experience and Inclusive Growth, Pelaburan Sosial: Menggerakkan Modal untuk Memperluas Impak Sosial, serta Memperkukuh Ekosistem Tempatan Perusahaan Sosial: Pembiayaan, Pembangunan Kapasiti dan Kerjasama Strategik.

Segmen kedua ialah Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai di Hotel Royale Chulan, The Curve.

Katanya, sesi itu membuka peluang kepada perusahaan sosial mempromosikan produk dan perkhidmatan secara terus kepada syarikat korporat bagi meneroka pasaran baharu serta memperluaskan peluang perolehan berimpak sosial.

Sementara itu, segmen ketiga ialah Karnival Jualan KEPS @ Bazaar Usahawan Sosial yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos di The Curve, Mutiara Damansara.

Menurut KUSKOP, bazar tersebut akan menghimpunkan 20 perusahaan sosial dari seluruh negara dengan sasaran kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Selain menjadi platform jualan, karnival itu turut memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat ekosistem perusahaan sosial tempatan melalui pelbagai aktiviti interaktif yang mesra keluarga.

Dalam pada itu, KUSKOP berkata perusahaan sosial merupakan model perniagaan berimpak tinggi yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membantu menangani isu sosial dan alam sekitar secara mampan.

Katanya, sektor berkenaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasa golongan rentan, membangunkan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif.

Sehubungan itu, KUSKOP mengajak orang ramai, khususnya warga Lembah Klang, hadir memeriahkan KEPS 2026 sebagai tanda sokongan kepada usahawan sosial tempatan serta usaha membangunkan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.

Intipati
  • KEPS 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai sektor berkaitan.
  • Konvensyen merangkumi forum, sesi padanan perniagaan dan Karnival Jualan KEPS di Damansara.
  • KUSKOP berkata perusahaan sosial membantu menangani isu sosial dan alam sekitar secara mampan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan