Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas buat kali keempat berturut turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Para Asia Aichi Nagoya 2026.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memuji semangat juang atlet itu yang tetap memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kejuaraannya meskipun berdepan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.
“Alhamdulillah, Malaysia raih emas ketiga! Tahniah Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas buat kali keempat berturut turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi Nagoya 2026.
“Saudara Abdul Latif memperlihatkan daya juang luar biasa apabila tetap memberikan yang terbaik meskipun kurang sihat, hingga berjaya mengekalkan kejuaraan. Semangat saudara membanggakan kita semua!” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menitipkan kata kata semangat kepada atlet negara lain agar terus berjuang, kekal fokus dan memberikan aksi terbaik sepanjang temasya berkenaan.
“Kepada atlet atlet negara yang lain, teruskan berjuang, kekal fokus dan berikan yang terbaik. Ayuh terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia!” katanya.
Terdahulu, Abdul Latif mengesahkan kejuaraan selepas mencatat lompatan terbaik sejauh 7.39 meter dalam aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium.
Kejayaan itu meneruskan dominasinya dalam acara berkenaan sejak memenangi emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Beliau turut mencipta rekod dunia dengan catatan 7.67 meter ketika meraih emas pada edisi 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, sebelum mempertahankan kejuaraan pada edisi 2022 di Hangzhou, China.
Kejayaan Abdul Latif itu menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan.

