Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SEPANG, 4 Jun (Bernama) -- Kumpulan pertama jemaah haji sebanyak 329 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.13 pagi, sekali gus menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua Musim Haji 1447H/2026M, iaitu menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air.
Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan isterinya Hanani Harun, serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Tabung Haji (TH) Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada jemaah Selangor itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 11.31 pagi (waktu Arab Saudi) semalam, menaiki pesawat Saudi Airlines (SV5004).
"Sampainya jemaah haji pertama ini bermakna sudah bermula fasa kedua urusan haji tahun ini, iaitu fasa kepulangan jemaah haji kita. Alhamdulillah semuanya berlaku dengan baik dan semua jemaah haji kita berada dalam keadaan yang baik.
"Terima kasih kepada semua petugas haji tahun ini, sama ada petugas TH mahupun Kementerian Kesihatan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja, Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airport Holding Bhd, syarikat korporat serta semua pihak yang membantu urusan haji pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Pertama, di sini.
Zulkifli berkata matlamat operasi haji kali ini berjaya dicapai, antaranya TH telah menerima Anugerah Labbaikum Diamond, pengiktirafan tertinggi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.
"Ini adalah anugerah tertinggi pengurusan haji bermula di tanah air dengan kursus haji, (pemeriksaan) kesihatan jemaah, persediaan yang rapi, penerbangan, penginapan, logistik, sajian makanan, keselamatan dan keseluruhan aspek operasi haji telah diisi dengan baik serta dilaksanakan dengan begitu teliti dan rapi oleh TH serta semua pihak yang berkepentingan," katanya.
Zulkifli berkata sepanjang musim haji tahun ini, sebanyak 65 jemaah mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan di hospital, manakala 17 jemaah, iaitu lapan wanita dan sembilan lelaki meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka mengalami serangan jantung.
Beliau turut memuji sikap dan disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci, sekali gus mencerminkan imej baik negara pada mata masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata jemaah haji Malaysia bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan, malah sentiasa mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta pengurusan haji.
"Malah, musim kali ini memperlihatkan pencapaian yang lebih hebat apabila jemaah haji kita turut mengitar semula barang-barang untuk dijadikan produk yang bermanfaat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas media yang bertugas di Tanah Suci dan di tanah air yang disifatkan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan operasi haji kepada rakyat.
Beliau berkata liputan yang diberikan oleh pengamal media sepanjang musim haji tahun ini amat baik dan membantu menonjolkan kecekapan pengurusan haji Malaysia pada peringkat antarabangsa.
"Melalui liputan yang diberikan, dunia dapat melihat sendiri bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan haji yang cemerlang serta jemaah dan petugas yang sentiasa menjaga nama baik negara,” katanya.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa 31,600 jemaah haji pulang ke tanah air bermula 3 Jun. Penerbangan terakhir dijadualkan pada 1 Julai ini.