Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kumpulan Penculik Tumpas Di Kedah, Sasar Warga Asing Terlibat Kes Culik Lain di Ibu Negara

Kumpulan Penculik Tumpas
Kredit: --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kumpulan Penculik Tumpas Di Kedah, Sasar Warga Asing Terlibat Kes Culik Lain di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kumpulan penculik yang berjaya ditumpaskan di Alor Star, Kedah pada Jumaat lepas disyaki terbabit dalam satu lagi kejadian penculikan di ibu negara bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kejadian culik di ibu negara itu melibatkan dua wanita China, dengan seorang daripada mereka berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan tersebut sepasukan anggota polis telah menyerbu sebuah rumah dan menjumpai seorang lagi wanita warga China dipercayai telah diculik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata kumpulan berkenaan yang menyasarkan warga asing dipercayai memperdaya mangsa menggunakan media sosial dengan menawarkan pekerjaan dan peneman sosial.

Beliau berkata dalam kejadian melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 72 tahun yang diselamatkan di Alor Star pada Jumaat lepas, kumpulan sindiket telah memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja dengan gaji lumayan sebagai juruperunding di sini.

Kumar berkata siasatan awal terhadap kumpulan berkenaan mendapati mereka menggunakan aplikasi inap desa (Airbnb) untuk bersembunyi dan menyimpan mangsa culik.

"Berdasarkan siasatan kumpulan ini kerap berpindah dari satu inap desa ke inap desa yang lain. Bagi kes di Alor Star mereka mula masuk ke inap desa berkenaan pada 7 Ogos dan dijadualkan keluar esoknya," katanya.

Beliau berkata siasatan turut mendapati keluarga mangsa dari Singapura telah membayar wang tebusan sebanyak SGD 15,000 daripada SGD1 juta yang dituntut oleh kumpulan penculik itu melalui pindahan wang ke akaun mangsa.

“Manakala tiada pembayaran dibuat oleh keluarga mangsa wanita China berusia 33 tahun walaupun kumpulan berkenaan menuntut wang tebusan sebanyak USD 20,000," katanya.

Kumar berkata susulan kejayaan itu beliau percaya sindiket penculikan tersebut telah berjaya ditumpaskan.

Sabtu lepas, Kumar dalam kenyataannya berkata dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah pada 8.40 malam Jumaat.

Beliau berkata dua mangsa yang diselamatkan ialah seorang lelaki dan wanita warga asing yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari.

Kumar berkata polis turut menemukan pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru, sepucuk revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran kedua-dua penjenayah.

Susulan kejadian itu, beliau berkata beberapa serbuan berasingan dilancarkan dan polis berjaya menahan enam suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima warga China termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kumar berkata kesemua suspek direman tujuh hari hingga 14 Ogos ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,” katanya.