Dua lelaki dari Xinjiang dilaporkan dijangkiti koronavirus selepas pulang dari Wuhan, lapor Business Insider.
Kes melibatkan pesakit berusia masing-masing 47 dan 52 tahun, lapor Radio Free Asia.
Penyebaran virus ke daerah ini ditakuti menyebabkankan kira-kira 1 juta tahanan Muslim Uighur terdedah kepada jangkitan berikutan keadaan kem tahanan yang didakwa dalam kondisi teruk.
Keadaan kem yang dilaporkan kotor dan mempunyai infrastruktur yang lemah serta dipenuhi tahanan menjadikannya tempat penyebaran penyakit dan jangkitan yang ideal, tulis Business Insider.

Guna baldi sebagai tandas
Menurut kumpulan aktivis Gerakan Kebangkitan Negara Turkistan Timur, terdapat sekurang-kurangnya 465 kem tahanan di seluruh Xinjiang.
Tahanan di sana dikatakan diberi tong plastik sebagai tandas dan mempunyai bilik yang kecil sehingga perlu bergilir-gilir untuk tidur.
Menurut Omir, salah seorang bekas tahanan di sana, dia perlu berkongsi bilik dengan 45 individu lain dan bergilir-gilir untuk tidur berikutan ruang yang sempit.
Sementara itu, tahanan lain, Sayragul Sauytbay yang berjaya meloloskan diri dari kem pada Mac 2018 berkata, “Makanan di sana teruk, waktu tidur tidak cukup dan kebersihan amat teruk.”
“Setiap bilik ada satu tong untuk tandas. Setiap banduan diberi masa dua minit sehari untuk menggunakan tandas. Tong itu dikosongkan sekali sahaja sehari.”

Bencana besar-besaran
Presiden Kongres Dunia Uighur, Dolkun Isa berkata kemasukan virus itu ke kem berkenaan akan menyebabkan implikasi serius buat tahanan. Jutaan nyawa akan terancam, katanya kepada media tempatan.
Sementara itu, James Millward, profesor sejarah China dan Asia Tengah di Universiti Georgetown berkata, keadaan yang sempit, kebersihan yang teruk, sejuk dan sistem imun yang tertekan boleh menyebabkan malapetaka besar-besaran.
“Melindungi diri terhadap wabak adalah salah satu syarat pertama dalam manual Zhu Hailun untuk menubuhkan kem,” katanya, merujuk kepada manual rasmi mengenai prosedur penubuhan kem yang dibocorkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasat tahun lepas.
Sumber: Business Insider