Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata operasi TH pada tahun ini berjalan dengan baik dan lancar hasil kerja keras dan komitmen luar biasa setiap petugas.
"Kualiti perkhidmatan yang diberikan Tabung Haji bukan baru dibina sehari dua tetapi sepanjang lebih 60 tahun. Kita sudah melalui pelbagai cabaran dan ujian.
"Alhamdulillah, semuanya dihadapi dengan baik, berkat usaha dan doa," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Perhimpunan Petugas Haji Musim 1447H/2026M di Abraj Al Janadriyah pada Rabu.
Ujarnya lagi, petugas haji mempunyai peranan penting dalam pelbagai aspek kebajikan jemaah haji termasuk pengurusan maktab dan zon, bimbingan ibadat haji dan ziarah, pengangkutan, sajian, khidmat pelanggan serta pengurusan kesihatan.
"Tidak kira di mana anda berada, sama ada di R&R lebuh raya yang terletak 200km jauh di tengah pasir, meronda di Masjidil Haram dalam panas terik tengah hari atau dalam pejabat dan menyelesaikan semua jenis masalah jemaah, anda semua memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan operasi haji ini lancar dan berjaya," katanya.

Para petugas juga dinasihatkan untuk kekal fokus dalam keadaan tekanan tinggi susulan kemuncak musim haji iaitu Operasi Masya'ir yang berbaki 11 hari.
Mereka dijangka akan menghadapi situasi mencabar di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mustakim berkata bahawa pertugas boleh kekal fokus dengan memahami pelan pengurusan pergerakan Jemaah semasa operasi Masya'ir.
"Petugas juga perlu bertindak pantas dan tepat berdasarkan peranan masing-masing yang telah ditetapkan dan utamakan koordinasi dan komunikasi yang jelas.
"Kita semua perlu saling membantu tanpa mengira unit/sektor operasi kerana Operasi Masya'ir bukan sekadar tugas, tetapi satu amanah besar.
"Kejayaan kita adalah apabila setiap jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selamat, sempurna dan penuh ketenangan," jelasnya.
Mustakim turut mengingatkan petugas bahawa amanah yang dipikul oleh mereka sangat besar.

"Ramai jemaah yang telah menunggu lama untuk ke Tanah Suci. Ramai juga dari kalangan warga emas dan mereka terus gagahkan diri untuk tunaikan ibadat haji walaupun paras tenaga mungkin sudah tidak sekuat dahulu.
"Mereka ini bukan hanya jemaah haji, mereka adalah ibu bapa kita dan saudara mara kita.
"Santunilah mereka sebaik dan seikhlas mungkin, dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang.
"Paling penting ialah setiap tindakan kita mestilah memudahkan dan menyempurnakan ibadah tetamu Allah," ujarnya lagi.

Petugas TH terdiri daripada 339 petugas rombongan kebajikan, 224 petugas rombongan perubatan dan 69 petugas lain-lain.
Perkhidmatan TH sememangnya dikenali kerana bertaraf dunia.
Bahkan, TH telah menerima Anugerah Labaytum daripada kerajaan Arab Saudi sebanyak empat kali dalam masa empat tahun.
Maklum balas dari pelanggan juga tidak mengecewakan. Pada musim haji lepas (1446H), Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) mencapai 93 peratus melebihi sasaran asal 85 peratus.
Hal ini sekaligus membuktikan komitmen dan disiplin tinggi petugas haji, pematuhan kepada SOP dan standard ISO, serta semangat kerja berpasukan.