Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Koeman Letak Jawatan Selepas Belanda Tersingkir

KOEMAN
Kredit: AFP

Koeman Letak Jawatan Selepas Belanda Tersingkir

Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengumumkan peletakan jawatan susulan kekalahan pasukannya kepada Maghribi pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, lapor The Guardian.

Koeman memaklumkan keputusan itu menerusi satu kenyataan di Instagram selepas Belanda tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti.

“Malam tadi saya membuat keputusan untuk menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda.

“Kami semua berkongsi impian untuk mencipta sejarah di Piala Dunia ini, namun kami gagal mencapainya. Tiada siapa yang lebih kecewa daripada saya. Sebagai ketua jurulatih, tanggungjawab itu terletak pada saya,” katanya.

Jurulatih berusia 63 tahun itu yang kembali mengendalikan Belanda pada Januari 2023 selepas pernah memegang jawatan sama dari 2018 hingga 2020 turut memberi bayangan untuk bersara daripada dunia kejurulatihan.

Menurut Koeman, beberapa tahun kebelakangan ini menyedarkannya bahawa ada perkara yang lebih penting daripada bola sepak, terutama soal kesihatan dan keluarga.

Beliau berkata, isterinya, Bartina Koeman tetap memberi sokongan walaupun sedang berdepan masalah kesihatan sendiri.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB), Nigel de Jong menyifatkan kempen Piala Dunia kali ini sebagai mengecewakan.

Katanya, sasaran utama pasukan adalah untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir, malah bercita-cita muncul juara dunia.

“Malangnya kami gagal mencapainya. Ya, kami masih jauh daripada tahap yang sepatutnya. Itulah realitinya,” katanya.

Pada masa sama, KNVB turut mendedahkan tiga pemain Belanda yang gagal menyempurnakan sepakan penalti berdepan kecaman berbaur perkauman di media sosial.

Pemain terbabit ialah Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville.

Menurut KNVB, komen diskriminasi, perkauman dan kebencian yang dilemparkan terhadap pemain-pemain itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kami memandang serius perkara ini dan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan diskriminasi dalam talian.

“Bola sepak menyatukan jutaan manusia daripada pelbagai latar belakang, manakala diskriminasi melakukan perkara sebaliknya. Ia bertentangan dengan segala nilai yang dibawa bola sepak,” katanya.

Insiden itu mengingatkan kembali kejadian sama yang pernah menimpa pemain England national football team iaitu Marcus Rashford, Bukayo Saka dan Jadon Sancho selepas kegagalan mereka dalam final Euro 2020.