Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Kita Ada Minta," Penganjur RXZ Members Cadang LPT Ditutup Sekejap, Beri Laluan Kepada Rider

Penganjur RXZ Members
Kredit: Bernama

Penganjur RXZ Members mencadangkan agar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada peserta ketika penganjuran acara tersebut di masa akan datang.

Menerusi hantaran video di Instagram @rxz_members_official, cadangan tersebut antara yang dibincangkan dalam sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Penganjur juga berkata acara itu akan sentiasa diadakan sehingga ke edisi 10.0 dan sesi libat urus bersama pihak berkuasa diteruskan selepas ini bagi penambahbaikan program akan datang.

Penganjur RXZ Members cadang LPT ditutup

"Kita ada minta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), mungkin ada cadangan nak tutup LPT untuk laluan rider sekejap," katanya.

Selain itu, mereka juga mencadangkan mengenai Travel Time Arrival iaitu jadual perjalanan yang ditetapkan kepada peserta untuk ke acara tersebut.

"Itu antara penambahbaikan akan datang, kita akan cuba," katanya lagi.

Menerusi kapsyen di hantaran itu, penganjur berkata matlamat pihaknya hanya satu iaitu untuk memastikan tiada lagi kemalangan yang meragut nyawa pada penganjuran akan datang.

"Dalam sesi libat urus ini, banyak perkara yang telah dibincangkan, InsyaAllah kami dari pihak penganjur sentiasa buat yang terbaik, matlamat kami hanya satu, untuk pastikan penganjuran selepas ini tiada lagi kemalangan yang meragut nyawa berlaku.

"Kami dan seluruh rider-rider RXZ Members bersedia ke arah yang lebih baik, matang dan profesional. Kempen keselamatan jalan raya akan berjalan secara berterusan," ujarnya.

Sesi libat urus itu dihadiri oleh Pengarah JPJ Negeri Pahang, Melaka dan Terengganu, pegawai-pegawai kanan JPJ Ibu Pejabat, wakil Bahagian Korporat, Bahagian Kejuruteraan Automotif dan Bahagian Keselamatan Jalan Raya.

Hadir sama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PERKESO.

Sementara itu, JPJ menjelaskan bahawa pihaknya tidak menyekat program tersebut, namun penambahbaikan perlu dibuat demi keselamatan pengguna jalan raya.

"JPJ bukan kata menyekat atau pun menghalang program ini, tetapi kita nak buat penambahbaikan supaya program ini menjadi lebih selamat dan keselamatan pengguna - pengguna jalan raya menjadi keutamaan kami," katanya menerusi video tersebut.

Sumber:Instagram
Intipati
  • Penganjur RXZ Members mencadangkan LPT ditutup sementara bagi memberi laluan kepada peserta.
  • Cadangan itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama JPJ dan beberapa agensi berkaitan.
  • JPJ berkata program tidak disekat, namun penambahbaikan keselamatan jalan raya perlu dibuat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan