Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Letupan besar di sebuah kilang bunga api di tengah China telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang dan mencederakan 61 yang lain, lapor AFP.
Menurut laporan China Central Television (CCTV), letupan itu berlaku kira-kira jam 4.43 petang Isnin di Liuyang Huasheng Fireworks Manufacturing and Display Company di Liuyang, wilayah Hunan.
Video yang tular di media sosial pada Isnin menunjukkan letupan berterusan disertai kepulan asap tebal yang menjulang tinggi ke udara di kawasan luar bandar yang dikelilingi pergunungan.
Rakaman dron oleh CCTV sehari kemudian menunjukkan kawasan luas dipenuhi serpihan yang masih berasap di lokasi bangunan yang musnah, dengan anggota penyelamat dan jentera pengorek giat mencari mangsa di celah runtuhan.
Asap masih kelihatan keluar dari beberapa bangunan yang masih berdiri, kebanyakannya mengalami kerosakan teruk dengan bumbung tercabut.
Sementara itu, kerajaan pusat telah menghantar pakar untuk membantu operasi menyelamat, manakala lebih 480 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Pihak berkuasa turut mewujudkan zon kawalan sejauh tiga kilometer di sekitar lokasi kejadian serta memindahkan penduduk berhampiran.
Polis telah menahan pihak pengurusan syarikat terbabit sementara siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan, lapor CCTV.
Susulan kejadian ini, Presiden China, Xi Jinping, menggesa agar segala usaha dilakukan untuk merawat mangsa yang cedera serta mencari individu yang masih hilang, selain memastikan pihak bertanggungjawab diambil tindakan.
Untuk pengetahuan, Liuyang merupakan hab utama pengeluaran bunga api, menghasilkan kira-kira 60 peratus bekalan dalam China dan 70 peratus eksport global.
Kemalangan industri, termasuk dalam sektor pembuatan bunga api, sering berlaku di China disebabkan standard keselamatan yang longgar.
Imbas kembali, satu letupan di kilang bunga api lain di Hunan mengorbankan sembilan orang, manakala pada 2023, tiga maut selepas beberapa letupan melanda bangunan kediaman di bandar utara Tianjin.
Pada Februari, letupan berasingan di kedai bunga api di wilayah Hubei dan Jiangsu masing-masing meragut 12 dan lapan nyawa.