Kerajaan Kelantan bersetuju menanggung bayaran sewa pasar selama tiga bulan berjumlah RM85,200 sebagai insentif kepada peniaga yang berpindah ke bangunan baharu Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara.
Kerajaan Kelantan Tanggung Rm85,200 Bayaran Sewa
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata langkah itu merupakan antara bentuk sokongan kerajaan negeri kepada peniaga yang kini menjalankan operasi di premis baharu berkenaan.
Beliau berkata perkara itu diumumkan pada Majlis Perasmian Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang selepas lawatan kerja ke Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, semalam.
“Sebagai sokongan kepada mereka, saya mengisytiharkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju menanggung bayaran sewa pasar selama tiga bulan berjumlah RM85,200 sebagai insentif kepada para peniaga yang telah berpindah ke bangunan baharu ini,” katanya.
Beliau berkata Pasar Awam Machang yang baharu menyediakan ruang yang lebih selesa dan tersusun kepada peniaga serta pengunjung, manakala premis perniagaan di kawasan berkenaan juga mula beroperasi.
Menurutnya, beliau turut menyantuni para peniaga bagi mendapatkan perkembangan mereka selepas berpindah ke premis baharu.
Mohd Nassuruddin berkata kedudukan Machang yang strategik di tengah-tengah Kelantan menjadikan Bandar Seri Mentara berpotensi menjadi tumpuan baharu dalam merancakkan ekonomi dan membuka lebih banyak ruang rezeki kepada masyarakat setempat.
“Dari tapak, kini menjadi nadi. Inilah Seri Mentara wajah baharu Machang,” katanya.

