Kerajaan negeri Johor menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh aspek keselamatan di sekolah di negeri itu susulan kejadian yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, baru-baru ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
“Kita telah menerima laporan mengenai insiden ini dan akan melihat dari setiap sudut dan peluang bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Kampung Parit Selamat, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, beliau juga akan berhubung dengan pihak kementerian bagi membincangkan isu keselamatan pelajar.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan rasa dukacita yang mendalam bagi pihak kerajaan negeri kepada keluarga mangsa.
JPN, PPD Batu Pahat Akan Semak SOP Keselamatan
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Maklumat Negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, perbincangan antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada semakan semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan secara terperinci bagi mengenal pasti serta menangani sebarang kelemahan atau kekurangan yang ada.
“Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan di kepala dan badan di sebuah dewan sekolah kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat trauma daya tumpul (blunt force trauma) pada bahagian kepala.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira jam 7 malam pada hari sama.
Suspek kemudian direman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

