Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Keputusan Kes Muhyiddin: Rafizi Persoal Rekod DNAA Di Bawah Kerajaan PM Anwar

RAFIZI
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan keputusan mahkamah melepaskan dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan membabitkan dana RM200 juta, selain mengkritik rekod keputusan DNAA di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata, keputusan berkenaan melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd. Mahkamah Tinggi pada 15 September lalu memutuskan Muhyiddin dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan memohon DNAA.

Katanya dalam satu kenyataan, perkembangan itu menimbulkan persoalan terhadap pengendalian kes rasuah berprofil tinggi melibatkan pemimpin politik.

“Kita baru saja dikejutkan dengan satu berita bahawa empat tuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin bersabit pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berjumlah RM200 juta, telah ditarik balik oleh pendakwa raya,” katanya.

Menurut Rafizi, Muhyiddin sebelum ini berdepan tujuh pertuduhan, dengan empat pertuduhan yang diputuskan pada 15 September membabitkan RM200 juta, manakala tiga lagi pertuduhan berkaitan Jana Wibawa membabitkan RM25.3 juta masih dihadapi beliau.

Rafizi berkata, beliau melihat perkembangan itu daripada dua sudut, termasuk isu keputusan DNAA dalam kes berprofil tinggi.

“Rekod anugerah DNAA di bawah pentadbiran Anwar dalam kes-kes rasuah besar memang cemerlang.

“Selain Muhyiddin, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi adalah salah seorang penerima anugerah DNAA sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut membangkitkan persoalan berhubung wang dalam akaun Bersatu yang sebelum ini dibekukan dan dilaporkan bernilai ratusan juta ringgit.

Katanya, dengan pilihan raya yang semakin hampir serta kedudukan Bersatu yang menurutnya telah kehilangan banyak pengaruh politik, dana berkenaan menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Yang saya pasti, budak-budak PKR dan PH yang menjerit ‘sakau, sakau, sakau’ dan mendabik dada konon mereka menentang rasuah – mereka tetap berputih mata dan tidak dapat satu sen pun dari wang ratusan juta itu,” katanya.

Sumber:Facebook