Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenyataan FAM Berhubung Dakwaan Beri Amaran Kepada Sarawak

fam amaran sarawak
Gambar: BERNAMA

Kenyataan FAM Berhubung Dakwaan Beri Amaran Kepada Sarawak

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tersebar menerusi sebuah portal berita bahawa badan induk bola sepak negara itu telah mengeluarkan amaran kepada Sarawak berhubung kedudukan liganya dalam piramid bola sepak kebangsaan.

Dalam satu kenyataan, FAM menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran seperti yang didakwa, malah tidak terlibat sama sekali dalam penghasilan, kelulusan atau pemberian komen kepada sumber yang dipetik dalam artikel berkenaan.

"Kepada pihak-pihak yang berkenaan, FAM dengan tegas mengesahkan bahawa FAM tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam penerbitan artikel berkenaan mahupun dakwaan yang mengaitkan FAM dengan kenyataan yang dipetik daripada sumber tersebut.

"Tiada sebarang arahan, kenyataan rasmi atau amaran pernah dikeluarkan oleh FAM melalui mana-mana saluran tidak rasmi bagi menyokong kandungan yang diterbitkan portal berkenaan," tegas FAM.

Dalam masa sama, FAM memaklumkan bahawa Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee, baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Pertemuan itu bertujuan menyelaraskan hala tuju pembangunan bola sepak di Sarawak. Ini termasuk garis panduan berkaitan pembangunan akar umbi serta laluan pemain daripada peringkat belia ke peringkat profesional secara lebih tersusun dan berstruktur.

"Sehubungan itu, adalah tidak bertanggungjawab dan tindakan melulu bagi mana-mana pihak untuk memetik isu 'struktur' atau kerangka tadbir urus bola sepak, sedangkan pada masa yang sama gagal mengenal pasti identiti mereka secara jelas atau mengemukakan bukti yang boleh disahkan mengenai penglibatan FAM," tambah FAM.

Menurut FAM, sekiranya terdapat sebarang kebimbangan berkaitan tadbir urus atau pengiktirafan sesuatu pertandingan atau organisasi bola sepak, perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan menerusi saluran rasmi yang sewajarnya, bukannya melalui sumber tanpa nama.

FAM turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menyokong sebarang inisiatif di peringkat negeri atau ahli gabungan yang bertujuan memperkukuh pembangunan bola sepak negara, selagi ia dilaksanakan mengikut proses tadbir urus yang betul serta mendapat pengesahan rasmi selaras dengan kerangka bola sepak Malaysia.

"Mana-mana pihak yang terus menyebarkan dakwaan yang tidak disahkan benar dalam ruang umum akan dipandang serius oleh FAM dan tindakan sewajarnya bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan lanjut kepada pihak berkenaan akan dipertimbangkan," tegas FAM lagi.