Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kelas Bahasa Percuma Selangor 2027 Diteruskan, Ini 7 Bahasa Yang Ditawarkan

Kelas Bahasa Percuma Selangor 2027 Diteruskan, Ini 7 Bahasa Yang Ditawarkan
Gambar AI

Mempelajari bahasa asing boleh menjadi satu kelebihan sama ada untuk kegunaan harian, pendidikan mahupun perkembangan kerjaya. Namun, kos mengikuti kelas bahasa berbayar kadangkala menjadi kekangan bagi mereka yang ingin menambah kemahiran diri.

Menyedari kepentingan penguasaan bahasa tambahan, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan Program Language Discovery menerusi Belanjawan Selangor 2027 dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi memperluas peluang pembelajaran kepada masyarakat.

Menerusi inisiatif ini, orang ramai berpeluang mempelajari pelbagai bahasa asing termasuk Mandarin, Tamil, Arab, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Rusia tanpa perlu mengeluarkan belanja besar untuk mengikuti kelas berbayar.

Menariknya, program yang dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) ini turut menyediakan kemudahan pembelajaran secara dalam talian. Peserta boleh mengikuti sesi pembelajaran dari lokasi masing-masing tanpa perlu hadir ke kelas secara fizikal.

Bagi mereka yang sudah lama menyimpan hasrat untuk menguasai bahasa baharu, program ini boleh menjadi peluang untuk memulakan langkah. Berikut merupakan maklumat lanjut mengenai Program Language Discovery, pilihan bahasa yang ditawarkan serta cara untuk membuat pendaftaran.

Apa itu Program Language Discovery Selangor?

Program Language Discovery merupakan inisiatif pembelajaran bahasa asing yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui PPAS.

Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk mempelajari bahasa ketiga khususnya bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran komunikasi tetapi mempunyai kekangan dari segi kos mengikuti kelas bahasa.

Menerusi pendekatan pembelajaran secara dalam talian, peserta boleh mengikuti kelas yang disediakan tanpa perlu hadir ke pusat pembelajaran.

Inisiatif ini juga bukan hanya memberi manfaat kepada golongan pelajar malah terbuka kepada orang dewasa yang mahu menambah kemahiran diri, memperluas pengetahuan serta meningkatkan peluang dalam dunia pekerjaan.

Untuk rekod, program ini merupakan antara inisiatif pendidikan yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan awal sebanyak RM350,000.

Sambutan yang diterima juga menggalakkan apabila lebih 10,000 peserta dilaporkan telah menyertai program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2026.

Senarai bahasa yang ditawarkan menerusi Language Discovery

Salah satu perkara menarik mengenai program ini ialah pilihan bahasa asing yang disediakan untuk peserta.

Berdasarkan pengumuman penerusan program menerusi Belanjawan Selangor 2027, terdapat tujuh pilihan bahasa yang disenaraikan untuk pembelajaran.

Antaranya:

  1. Bahasa Mandarin

  2. Bahasa Tamil

  3. Bahasa Arab

  4. Bahasa Perancis

  5. Bahasa Jerman

  6. Bahasa Sepanyol

  7. Bahasa Rusia

Pilihan bahasa ini memberi peluang kepada peserta untuk memilih bidang pembelajaran mengikut minat dan keperluan masing-masing.

Bagaimanapun, pemohon perlu menyemak pilihan bahasa yang tersedia ketika sesi pendaftaran dibuka kerana senarai yang ditawarkan boleh berubah mengikut pengambilan.

Siapa yang layak menyertai program ini?

Program Language Discovery bukan hanya dubuka untuk golongan pelajar atau mereka yang masih muda. Ianya turut membuka peluang kepada orang dewasa yang ingin mempelajari bahasa baharu.

Berdasarkan maklumat pelaksanaan program, penyertaan dibahagikan kepada dua kategori utama seperti berikut:

Kategori peserta

Had umur

Kanak-kanak

7 hingga 12 tahun

Dewasa

13 tahun dan ke atas

Ini bermakna pelajar sekolah, remaja, mahasiswa, golongan bekerja dan orang dewasa boleh mengambil peluang untuk menyertai program berkenaan.

Walau bagaimanapun, keutamaan penyertaan diberikan kepada penduduk Selangor. Pemohon disarankan menyemak syarat serta ketetapan bagi pengambilan terkini sebelum menghantar permohonan.

Adakah kelas bahasa ini percuma?

Ya, antara keistimewaan utama Program Language Discovery ialah penyediaan kuota pembelajaran percuma yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Melalui peruntukan yang disediakan, peserta berpeluang mengikuti kelas bahasa tanpa perlu menanggung kos pembelajaran seperti kelas bahasa komersial.

Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang perlu diketahui oleh mereka yang berminat.

Berdasarkan maklumat pelaksanaan pada Februari 2026, peserta yang tidak berjaya mendapatkan tempat dalam kuota percuma masih mempunyai pilihan untuk mengikuti kelas melalui slot alternatif dengan kadar subsidi sebanyak RM10 sejam.

Ini bermakna peluang untuk mempelajari bahasa asing masih terbuka walaupun kuota percuma telah dipenuhi tertakluk kepada kekosongan dan ketetapan pihak PPAS.

Bagaimana kelas Language Discovery dijalankan?

Tidak perlu risau sekiranya anda mempunyai kekangan masa atau sukar untuk menghadiri kelas secara fizikal.

Ini kerana sesi pembelajaran Language Discovery dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

Kaedah ini membolehkan peserta mengikuti kelas dari rumah atau mana-mana lokasi yang mempunyai kemudahan internet.

Bagi pelaksanaan yang diumumkan pada 2026, setiap sesi pembelajaran berlangsung selama tiga bulan.

Selain itu, kelas asas bahasa bagi pengambilan tertentu turut dijalankan sebanyak empat kali sebulan.

Setiap bahasa dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman bagi membantu peserta memahami asas bahasa secara berperingkat.

Pendekatan ini sesuai untuk mereka yang belum pernah mempelajari bahasa berkenaan kerana peserta berpeluang membina pengetahuan daripada peringkat permulaan.

Walau bagaimanapun, jadual kelas, tempoh pembelajaran dan kekerapan sesi bagi tahun 2027 perlu dirujuk kepada pengumuman rasmi PPAS.

Cara daftar Program Language Discovery Selangor

Bagi individu yang berminat, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi PPAS.

Berikut merupakan langkah asas yang boleh diikuti:

  1. Layari portal rasmi PPAS menerusi pautan https://www.ppas.gov.my/language_discovery.

  2. Semak pengumuman terkini berkaitan pembukaan pendaftaran Program Language Discovery.

  3. Pilih kategori peserta yang bersesuaian berdasarkan umur.

  4. Lengkapkan borang permohonan dengan maklumat peribadi yang diperlukan.

  5. Pilih bahasa yang ingin dipelajari berdasarkan pilihan yang disediakan untuk pengambilan berkenaan.

  6. Semak semula maklumat yang telah diisi sebelum menghantar permohonan.

  7. Tunggu makluman atau pengesahan daripada pihak PPAS menerusi alamat e-mel yang didaftarkan.

Pemohon juga disarankan menggunakan alamat e-mel yang masih aktif bagi memastikan sebarang makluman berkaitan permohonan dapat diterima.

Language Discovery diteruskan menerusi Belanjawan Selangor 2027

Apa yang lebih menarik, Program Language Discovery tidak terhenti setakat pelaksanaan pada tahun 2026.

Menerusi Belanjawan Selangor 2027 yang dibentangkan pada 13 November 2026, Kerajaan Negeri mengumumkan penerusan program berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Peruntukan ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses pembelajaran bahasa asing kepada masyarakat.

Dengan pilihan bahasa yang pelbagai serta kemudahan pembelajaran secara dalam talian, program ini berpotensi memberi manfaat kepada lebih ramai peserta yang mahu meningkatkan kemahiran komunikasi.

Bagi yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti pengumuman rasmi PPAS mengenai pendaftaran seterusnya.

Kesimpulannya, Program Language Discovery merupakan peluang yang baik untuk rakyat Selangor mempelajari bahasa asing dengan kos yang lebih rendah malah berpeluang menikmati kelas percuma melalui kuota yang disediakan.

Tidak kira sama ada anda seorang pelajar, individu bekerja atau orang dewasa yang mahu mencuba sesuatu yang baharu, kemahiran bahasa tambahan boleh menjadi satu kelebihan dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Intipati
  • Selangor meneruskan Program Language Discovery 2027 dengan peruntukan RM500,000 menerusi belanjawan negeri.
  • Tujuh bahasa ditawarkan, termasuk Mandarin, Tamil, Arab, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Rusia.
  • Kelas dijalankan secara dalam talian, dengan pendaftaran dibuat melalui portal rasmi PPAS.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan