Kedutaan China di Kazakhstan memberi amaran tentang sejenis jangkitan ‘pneumonia tidak diketahui’ yang ditemui selepas bekas negara Soviet tersebut mengalami kenaikan kes pneumonia yang mendadak sejak Jun.
“Kadar kematian daripada penyakit ini didapati lebih tinggi berbanding COVID-19.
“Jabatan kesihatan negara kini menjalankan kajian mengenai perbandingan virus pneumonia, tetapi sehingga kini virus tersebut belum dapat dikenal pasti,” katanya, memetik laporan SCMP, baru-baru ini.
Sementara itu, wilayah Atyrau, Aktobe serta bandar Shymkent turut dilaporkan mengalami kenaikan kes mendadak yang serupa, sejak Jun lalu, berdasarkan beberapa sumber media tempatan.
Kedutaan tersebut berkata, kira-kira hampir 500 kes pneumonia direkodkan di ketiga-tiga lokasi terbabit, dengan merekodkan lebih 30 pesakit sedang kritikal setakat ini.
Untuk rekod, Kazakhstan mencatatkan sebanyak 1,772 kematian akibat pneumonia pada suku pertama tahun ini, melibatkan 628 kes pada Jun, termasuk beberapa warganegara China.
“Kedutaan China di Kazakhstan mengingatkan rakyat China di sini agar sentiasa berjaga-jaga akan situasi ini, serta perlu meningkatkan perlindungan diri untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kesihatan di Nur Sultan, Saule Kisikova melaporkan, kira-kira 300 individu yang disahkan mengalami radang paru-paru tersebut dimasukkan ke hospital setiap hari, memetik laporan agensi Kazinform.
Malah jelas agensi itu lagi, sebanyak 1,700 kes telah dikesan di seluruh negara pada Jun, kira-kira dua kali lebih ganda jumlahnya berbanding Jun tahun lepas.
Sumber: SCMP, Global Times, Daily Mail UK, Public Health Malaysia