Suasana pilu menyelubungi detik terakhir rakan dan kenalan mengiringi mendiang jururawat, Debra Morset, sebelum jenazahnya dibawa menaiki pesawat untuk diterbangkan pulang ke Kuching, Sarawak, hari ini.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan pengguna Threads, @dyg_fairyzha yang dipercayai kenalan tempat kerja mendiang, kelihatan sekumpulan individu termasuk petugas kesihatan mengiringi keranda Debra menuju ke pesawat.
“Penerbangan SN Debra ke Kuching. Semoga selamat sampai Deb. Kau lah wirawati negara kami,” tulisnya.
Dalam perkongsian berasingan, kenalan mendiang turut meluahkan rasa sebak melihat ramai hadir bagi mengiringi kepulangan Debra sebelum perjalanan terakhirnya.
“Ramainya orang mengiringi kepulangan kau Deb… damailah di tempat baharu, moga anak-anak dan keluarga terdekat semua mangsa nahas heli FDS (doktor udara) kuat dan tabah mengharungi kehidupan tanpa kehadiran kamu semua,” katanya.

Rakaman berkenaan turut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang menzahirkan ucapan takziah serta penghargaan terhadap jasa mendiang sebagai petugas kesihatan.
“Sedih kehilangan kawan, sahabat bekerja… semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” tulis @khadeejamummy.
“Sudah habis air mataku untuk mereka ini. Sekali lalu sekali menangis. Selamat jalan wahai wira dan wirawati negara. Kamu betul-betul pejuang rakyat,” kata @mdmzulaikha.
Terdahulu, upacara penghormatan terakhir buat Debra bersama Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit dan seorang lagi jururawat, Jessie Paya Jok, diadakan di Hospital Miri hari ini.
Berdasarkan hebahan upacara berkenaan, warga hospital berkumpul seawal jam 7 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Debra, diikuti Alexson pada jam 9 pagi dan Jessie pada jam 12 tengah hari.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara lima petugas kesihatan yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) pada 8 September lalu.

