Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kanak-Kanak Bukan Warganegara Masih Layak Akses Pendidikan Di Sekolah Kerajaan

Kanak-Kanak
Kredit: Bernama

KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Kanak-kanak berstatus bukan warganegara Malaysia masih layak mendapat akses pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan sekiranya mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia, tertakluk kepada syarat dan prosedur Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kelayakan itu tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Peraturan-Peraturan Pendidikan 1998 serta prosedur KPM yang sedang berkuat kuasa.

“Bagi tujuan kemasukan ke sekolah, maklumat ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia hendaklah tertera dalam sijil kelahiran kanak-kanak.

“Status kewarganegaraan dan akses kepada pendidikan merupakan dua perkara yang berbeza,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Johnichal Rayong Ngipa (GPS-Engkilili) mengenai status kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa bukan warganegara, tetapi dilahirkan dan dibesarkan di Sarawak serta kelayakan mereka untuk bersekolah di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 224 kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Antara faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak didaftarkan sebagai bukan warganegara atau diberikan sijil kelahiran berwarna merah jambu ialah perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.

“Faktor lain termasuk ibu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta kes kanak-kanak dijumpai atau ditinggalkan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Dr Rayong.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mempertingkat usaha mengurangkan masalah itu termasuk mengadakan dialog bersama dengan komuniti dan kempen kesedaran bagi menggalakkan pendaftaran perkahwinan secara sah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Selain itu, bantuan akan diberikan kepada ibu yang lahir di Sarawak tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk mendapatkan dokumen berkenaan melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Bab 10).


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Kanak-kanak bukan warganegara layak bersekolah jika seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia.
  • Kelayakan itu tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996, peraturan pendidikan dan prosedur semasa KPM.
  • JPN merekodkan 224 kanak-kanak lahir di Sarawak didaftarkan bukan warganegara hingga Ogos.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan