Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kami Terpinga-Pinga Kenapa Mendarat Di Oman
Satu detik yang tidak dijangka berlaku apabila pesawat membawa jemaah haji Malaysia yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah terpaksa melakukan pendaratan di Muscat, Oman susulan masalah teknikal enjin.
Kami berjaya menghubungi seorang jemaah, Afdzal Rusmi untuk mendapatkan kisah pengalaman beliau, dia pada awalnya mengakui tiada apa yang luar biasa untuk dikongsikan, namun memuji cara pasukan Amal by Mas yang mengendalikan situasi dengan begitu tenang dan tersusun.

“Tiada apa pun nak dikongsi, tapi team Amal by MAS memang pandai kawal masalah dengan tenang, kredit kepada mereka,” katanya ringkas.
Tambah beliau, suasana dalam kalangan jemaah kekal terkawal walaupun berdepan situasi luar jangka itu. Malah, kebanyakan mereka menerima kejadian tersebut sebagai satu ujian dalam perjalanan menuju ke tanah suci.
“Asalkan semua selamat, kami okay je. Syukur Alhamdulillah. Ini semua ujian Allah untuk jadi duyufurrahman,” ujarnya.

Menariknya, jemaah hanya dimaklumkan mengenai masalah enjin selepas pesawat selamat mendarat di Muscat, Oman.
“Semua nampak tenang sebab kami dah selamat mendarat baru tahu ada masalah enjin. Cuba kalau umum masa atas awan, mungkin semua dah solat taubat dan istighfar banyak-banyak,” katanya berseloroh.
Walaupun terdapat sedikit kekeliruan sebaik sahaja keluar dari pesawat dalam penerbangan tersebut, keadaan berjaya dikawal dengan baik oleh pihak Malaysia Airlines.
“Kami agak terpinga-pinga tak tahu nak ke mana, tapi Alhamdulillah team Malaysia Airlines uruskan semuanya dengan sangat baik,” jelasnya.
Sepanjang tempoh transit di Oman, para jemaah ditempatkan di hotel yang selesa iaitu City Seasons Hotel Muscat.

“Hotel 4 bintang, makanan disediakan sarapan dan makan malam. Memang layanan sangat baik, syukur sangat-sangat,” katanya lagi.
Ditanya adakah beliau sudah berniat Ihram, beliau menyatakan belum berniat kerana belum tiba ni Qarnul Manazir.
Tapi beliau turut berkongsi bahawa terdapat jemaah yang telah berniat ihram lebih awal sebelum kejadian berlaku, sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ada yang dah niat awal sebab takut terlena. Jadi kena jaga pantang larang ihram sepanjang transit,” katanya.
Lebih menyentuh hati, jemaah tersebut turut berkongsi detik emosi yang dilalui sebaik tiba di Oman.
“Sampai di Oman, air mata jantan ni berlinangan. Kita ni pendosa, risau takut tak layak ke bumi Mekah. Pergi haji ni memang tawakal sepenuhnya kepada-Nya,” luahnya.
Menurut maklumat kemaskini yang diterima, jemaah hari ini diminta untuk berkumpul di ruang legar hotel pada jam 9 malam.
Mereka akan di bawa menaiki 5 buah bas yang disediakan oleh pasukan Amal by Malaysia Airlines ke lapangan terbang Muscat Oman dan dijangka akan meneruskan perjalanan ke Jeddah sekitar jam 3:10 pagi (6 Mei).