Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Kalau boleh kita pergi sama-sama...”, 16 Sekeluarga Dari Perak Tunai Haji Serentak
"Kalau bukan sebab mak dan ayah, mungkin kami tak akan sampai ke Tanah Suci bersama-sama hari ini."
Itulah ungkapan syukur Muhammad Huzair Zakhal.
Bayangkan, seramai 16 orang ahli keluarga terdiri daripada adik-beradik dan pasangan masing-masing diberi rezeki serentak oleh Allah SWT untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2026 di bawah pakej Muassasah Tabung Haji (KT 37).
Namun, di sebalik kemanisan jemputan ini, ada satu rahsia pengorbanan yang sudah bermula sejak dua dekad yang lalu.
Segala-galanya bermula sekitar tahun 2002.
Ibu Huzair, Azizah Zawree seorang wanita yang sangat berdisiplin, dengan membuka akaun Tabung Haji untuk 12 orang anaknya.
Walaupun waktu itu, simpanan cuma RM10 sebulan seorang namun seiring waktu, ia, dinaikkan perlahan-lahan ke RM20.

Walaupun jumlahnya kecil, prinsip yang dipegang si Ibu ialah "sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit.
Kongsi Huzair, apabila adik bongsu mencapai usia 5 tahun, ibunya memastikan setiap anak mempunyai simpanan minimum RM1,300.
Berkat kesabaran itu, pada tahun 2009, kesemua mereka berjaya didaftarkan dalam kuota Muassasah.
Mungkin ramai anak-anak kita kini lebih cenderung guna duit raya untuk membeli mainan, tapi tidak bagi keluarga ini.
Sejak kecil, mak dan ayah Huzair menguruskan duit raya anak-anak dengan satu visi "Masa depan di Tanah Suci"
"Duit raya bukan untuk habis, tapi untuk bekalan ke Mekah," kenang Huzair.
Apabila anak-anak sudah besar dan mula bekerja, akaun itu akan diserahkan kepada mereka.
Dedahnya, masing-masing sudah mempunyai 'modal' sekitar RM3,000 hasil simpanan konsisten ibu bapa mereka selama bertahun-tahun.
“Kalau bukan sebab mak ayah, memang takkan sampai tahap ini,” ujarnya.

Amalan itu diteruskan dengan potongan gaji bulanan bagi menambah simpanan secara konsisten.
Apabila menerima makluman pada tahun 2025 bahawa mereka terpilih untuk berangkat pada tahun 2026, usaha ‘push’ terakhir dilakukan untuk mencukupkan kos haji.
Ceritanya lagi, bukan semua ahli keluarga berada dalam keadaan kewangan yang benar-benar selesa ketika itu sebenarnya.
Ada adik-beradik yang simpanannya hampir tidak mencukupi dan terfikir untuk menangguhkan giliran haji. Namun mak tetap bertegas.
"Kalau boleh, kita pergi sama-sama. Jangan tinggal seorang pun kalau mampu," kongsinya.

Mak juga sanggup membantu menampung kekurangan akaun anak-anak demi memastikan impian itu menjadi nyata.
Daripada 12 orang adik-beradik asal, seorang kakak sulung telah selamat menunaikan haji pada tahun 2025, manakala seorang lagi adik istimewa tidak dapat mengikuti perjalanan ini atas faktor kesihatan.
Baki 10 orang adik-beradik berjaya menunaikan haji pada tahun ini bersama enam orang pasangan masing-masing. Keseluruhannya, 16 orang ahli keluarga berada di Tanah Suci bersama-sama.
“Bila dah sampai sini, baru rasa betapa kecilnya diri ini di depan Allah,” katanya.
Kongsinya, semangat untuk ke Tanah Suci bukan datang tiba-tiba, sebaliknya dipupuk sejak kecil melalui majlis ilmu di rumah.
"Mak dan ayah sering membacakan hadis-hadis tentang kelebihan amal soleh, solat, dan fadilat haji terutamanya apabila memasuki bulan Zulhijjah.
"Didikan ini yang membuatkan kami sangat menjaga silaturahim walaupun masing-masing sudah berumah tangga.
"Setiap kali raya, mak dan ayah akan mengambil ruang untuk memberi nasihat agar kami sentiasa menjaga agama dan menjaga niat dalam setiap perkara," katanya lagi.
Kini, Muhammad Huzair sendiri meneruskan amalan yang sama kepada tiga orang anak. Akaun Tabung Haji mereka sudah dibuka dan simpanan dilakukan secara konsisten.
“Kalau dulu mak yang mula, sekarang kita pula kena sambung,” katanya.
Sebelum berangkat, mak sempat menitipkan pesanan.
“Jaga hati, jaga diri, dan ikhlaskan niat kerana Allah Ta’ala. Jangan ada rasa bangga diri walaupun kita pergi dalam jumlah yang ramai,” katanya.

Tempoh 48 hari di Tanah Suci bukan sahaja menjadi ruang beribadah, tetapi juga detik paling berharga untuk mengeratkan kembali kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Kalau bukan sekarang, mungkin tak ada peluang macam ini lagi,” katanya penuh syukur sambil mendoakan kesihatan kedua orang tuanya.