Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kajian Dedah Terlalu Bergantung Kepada AI Buat Otak Jadi "Slow"
Kini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian.
Daripada menulis, mencari maklumat, sehinggalah membuat keputusan.
Pelbagai tugas kognitif manusia cenderung diserahkan kepada teknologi ini demi kemudahan dan kepantasan.
Namun, di sebalik kelebihan tersebut, para penyelidik mula memberi amaran bahawa kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh membawa kesan yang tidak diingini terhadap keupayaan mental manusia.
Sehubungan itu, SK ingin kongsikan kajian daripada portal BBC mengenai
Portal BBC menjelaskan yang kajian awal oleh pasukan di MIT Media Lab telah dibuat, melibatkan 54 pelajar yang diminta menulis esei pendek.
Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan: satu menggunakan ChatGPT, satu lagi menggunakan enjin carian tanpa ringkasan AI, dan selebihnya menulis tanpa bantuan teknologi.
Difahamkan, aktiviti gelombang otak mereka dipantau sepanjang tugasan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang menggunakan pemikiran sendiri mempunyai aktiviti otak yang sangat aktif dan meluas.
Kumpulan yang menggunakan enjin carian masih menunjukkan pengaktifan yang kuat, khususnya di bahagian visual.
Sebaliknya, kumpulan yang menggunakan ChatGPT mencatatkan penurunan aktiviti otak sehingga 55 peratus, khususnya dalam kawasan yang berkaitan dengan kreativiti dan pemprosesan maklumat.
Menurut portal BBC, penggunaan AI turut memberi kesan terhadap ingatan.
Selepas menyiapkan esei, peserta dalam kumpulan AI sukar mengingati atau memetik semula isi penulisan mereka, malah ada yang merasakan mereka tidak benar-benar memiliki hasil kerja tersebut.
Penemuan ini selari dengan kajian lain yang menunjukkan penggunaan AI boleh mengurangkan keupayaan menyimpan dan mengingat maklumat.

Kajian turut menunjukkan wujudnya kecenderungan “penyerahan kognitif”, di mana pengguna cenderung menerima jawapan AI tanpa menilai secara kritis, bahkan membiarkan teknologi mengatasi intuisi sendiri.
Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada bidang akademik, malah boleh berlaku dalam situasi kritikal seperti bidang perubatan.
Sebagai contoh, penggunaan alat AI untuk saringan kanser kolon didapati menjejaskan keupayaan doktor mengenal pasti tumor secara manual selepas tempoh penggunaan tertentu.
Dari sudut kreativiti, portal BBC menjelaskan bahawa kebergantungan kepada AI juga berisiko menghasilkan karya yang kurang asli.
Esei yang dihasilkan dengan bantuan ChatGPT didapati mempunyai gaya yang hampir seragam serta kurang kedalaman, sehingga disifatkan sebagai tidak berjiwa oleh penilai.

Walaupun kesan jangka panjang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya, kajian susulan menunjukkan bahawa pelajar yang sebelum ini bergantung kepada AI menunjukkan tahap sambungan neural yang lebih rendah apabila diminta menulis tanpa bantuan tersebut.
Ini mencadangkan bahawa mereka kurang terlibat secara mendalam dalam proses pembelajaran.
Pakar neurosains pengkomputeran, Vivienne Ming, berpendapat bahawa AI sebenarnya boleh menjadi alat yang bermanfaat sekiranya digunakan secara bijak.
Namun, beliau bimbang kebanyakan pengguna cenderung mengambil jalan mudah dengan menyerahkan sepenuhnya tugas berfikir kepada teknologi.