Jumlah penduduk Jepun berusia 100 tahun dan ke atas mencecah rekod tertinggi sebanyak 107,677 orang pada September, meningkat untuk tahun ke-56 berturut-turut, menurut data Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, lapor Kyodo News.
Jumlah penduduk Jepun berusia 100 tahun ke atas cecah 107,677
Jumlah itu meningkat sebanyak 7,914 orang berbanding tahun sebelumnya dan buat kali pertama melepasi angka 100,000.
Wanita membentuk 87.6 peratus daripada keseluruhan golongan centenarian itu dengan 94,298 orang, manakala jumlah lelaki ialah 13,379 orang, menurut kementerian berkenaan.
Data yang disusun berdasarkan daftar penduduk asas setakat 1 September menunjukkan jumlah lelaki berusia 100 tahun dan ke atas meningkat sebanyak 1,400 orang, manakala jumlah wanita bertambah 6,514 orang.
Selain itu, seramai 54,294 orang lagi dijangka mencapai usia 100 tahun dalam tahun fiskal 2026, meningkat sebanyak 1,984 orang berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Kenichiro Ueno berkata peningkatan itu menunjukkan semakin ramai penduduk hidup lebih lama dan kekal aktif, antaranya hasil kemajuan teknologi perubatan.
“Kami berbesar hati kerana ramai yang hidup lebih lama dan kekal aktif hasil kemajuan teknologi perubatan,” katanya pada sidang media.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan usia penduduk turut menjadikan usaha memastikan sistem keselamatan sosial negara terus mampan amat penting.
Kos keselamatan sosial Jepun meningkat setiap tahun susulan kadar kelahiran yang menurun dan populasi yang semakin menua, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan awam negara.
Fuyo Kishimoto, 114, dari Kyoto yang dilahirkan pada 20 Disember 1911, merupakan wanita tertua di Jepun, manakala Hikaru Kato, 112, dari Kumamoto yang dilahirkan pada 2 Mei 1914, ialah lelaki tertua negara itu.
Secara purata, terdapat 87.51 individu berusia 100 tahun dan ke atas bagi setiap 100,000 penduduk di Jepun.
Jumlah centenarian di Jepun hanya 153 orang pada 1963, ketika pengumpulan data itu mula dilakukan.
Angka berkenaan meningkat setiap tahun sejak 1970 apabila jumlahnya mencecah 310 orang, sebelum melepasi 1,000 pada 1981, 10,000 pada 1998 dan 50,000 pada 2012.
Jangka hayat purata di Jepun pada 2025 pula ialah 87.33 tahun bagi wanita dan 81.35 tahun bagi lelaki.

