Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jubli Perak Sultan Selangor: Makna Di Sebalik Gerakan Unik 'Siku Keluang' Ketika Istiadat Mengangkat Sumpah & Menjunjung Duli

siku keluang
Kredit: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Pada 25 Oktober 2026, Selangor menyambut satu lagi detik penuh bersejarah iaitu Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Pada hari berkenaan turut berlangsungnya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Istiadat Pemasyhuran Gelaran yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang.

Dalam istiadat berkenaan, salah satu perkara yang mencuri perhatian rakyat adalah gerakan-gerakan yang dilakukan oleh Orang Besar Istana, Yang Mulia Tengku Ezrique Ezzuddean semasa Istiadat Mengangkat Sumpah Dan Menjunjung Duli.

Tindakan itu menimbulkan persoalan dan maksud di sebaliknya. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu muat naik, menjelaskan gerakan itu dikenali sebagai Siku Keluang.

Apa Itu Istiadat Mengangkat Sumpah Dan Menjunjung Duli?

Istiadat ini adalah warisan turun-temurun yang diamalkan oleh Almarhum Sultan-Sultan sejak pemerintahan beraja Negeri Selangor Darul Ehsan.

Dalam istiadat diraja Melayu, gerak tubuh, kedudukan berdiri, cara menghadap dan perbuatan tunduk mempunyai tertib tersendiri sebagai tanda hormat kepada Baginda Sultan.

Mengikut amalan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli, gerak tubuh di hadapan Sultan mempunyai tertib dan makna tersendiri. Ia menjadi sebahagian daripada sembah hormat, tanda merendah diri serta pengiktirafan terhadap kedudukan Baginda Sultan sebagai Ketua Negeri.

Setelah itu, mereka yang bergelar hendaklah meninggalkan Negeri Selangor selama tujuh hari dan kembali semula ke Negeri Selangor untuk menghadiri Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli dan menyembahkan persembahan sebagai simbol menjunjung kasih atas kurniaan Baginda Tuanku.

Istiadat Menjunjung Duli ini dikenali sebagai gerakan “Siku Keluang” dan merupakan sebahagian daripada protokol diraja dalam Kesultanan Selangor.

Gerakan unik ini dilakukan oleh Orang Besar Istana atau kerabat diraja semasa menghadap Baginda Sultan untuk menyatakan taat setia, menghormati titah, atau sewaktu upacara penganugerahan darjah kebesaran.

Tata Cara Dan Makna Disebalik Gerakan Siku Keluang

1. Bentuk Gerakan Fizikal

• Posisi Tangan Menyerupai Siku Keluang:

Nama gerakan ini diambil daripada bentuk sayap keluang (kelawar besar) yang menyiku. Semasa berjalan menghadap, posisi kedua-dua belah tangan dibengkokkan secara tajam di bahagian siku.

• Langkah Kaki Bertertib:

Langkah kaki digerakkan secara perlahan, beritme, dan berhati-hati bagi mengekalkan kestabilan postur badan yang tunduk hormat, mencerminkan ketertiban yang tinggi di hadapan Raja.

• Susun Jari Menjunjung Duli:

Gerakan ini kerap disulami dengan susunan jari yang rapat dan kuncup ke atas (seperti bentuk susun sirih atau sulur bayung) semasa mengangkat sembah menjunjung duli.

2. Kepentingan Adat dalam Kesultanan Selangor

Walaupun institusi beraja di Malaysia berkongsi akar budaya Melayu yang sama, setiap istana kesultanan mempunyai identiti dan variasi gerakan menjunjung duli yang tersendiri. Gerakan Siku Keluang ini mengekalkan estetika tradisi tulen Kesultanan Selangor bagi membezakannya dengan adat istana negeri lain.



Intipati
  • Selangor menyambut Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 25 Oktober 2026.
  • Gerakan Siku Keluang dilakukan ketika Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli di hadapan Sultan.
  • Adat itu melambangkan sembah hormat, taat setia dan identiti tradisi Kesultanan Selangor.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan