Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim untuk tidak menyalahkan kerajaan terdahulu berhubung kemelut adat dan institusi Raja Negeri Sembilan.
Menurutnya dalam satu kenyataan, Ismail sepatutnya tampil dan menjelaskan dakwaan terbabit kerana rakyat berhak untuk mengetahui kesalahan yang dimaksudkan.
Aminuddin berkata dia tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan kerana setiap tindakan dan keputusan boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.
“Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim yang cuba mengaitkan kemelut adat dan institusi Raja Negeri Sembilan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan. Sepanjang saya menjadi Menteri Besar, setiap tindakan dan keputusan boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Ujarnya, sekiranya kerajaan terdahulu dikatakan menjadi punca kepada kemelut tersebut, rakyat berhak untuk mengetahui kesalahan tersebut termasuk tindakan yang dikatakan gagal serta undang-undang yang telah dilanggar.
“Jangan sekadar menggunakan istilah “kerajaan terdahulu” sebagai jawapan umum. Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya.
“Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya. Perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” ujarnya.
Jika Saya Boleh Menolak, Mengapa Ismail Tandatangan?

Dalam kenyataan sama, Aminuddin mendedahkan ketika masih memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 20 April lalu, beliau pernah diminta menandatangani proklamasi pada 19 April yang dikemukakan untuk ditandatangani dengan merujuk proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.
Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana terdapat persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui.
“Pada 20 April 2026, ketika saya masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 telah dikemukakan kepada saya untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.
“Saya membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut. Dato’ Ismail sebagai orang yang berlatarbelakang pengamal guaman, sudah pasti sangat biasa dengan perkataan “proses”.
“Isu yang melibatkan Tuanku Muhriz adalah prosesnya. Adakah lengkap? Atau cacat sejak awal?” soalnya.
Menurutnya, Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, tetapi turut menetapkan proses yang perlu dipenuhi termasuk isu berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap.
Jelasnya lagi, pada ketika itu juga terdapat pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
“Dalam keadaan terdapat persoalan seperti itu, saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang Menteri Besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi Raja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas.
“Ini pendirian saya dan alhamdulillah, hari ini pendirian ini kekal dan saya tidak melayakkan diri saya sebagai 'dipaksa',” katanya.
Aminuddin kemudian mempersoal tindakan Ismail yang menandatangani dokumen proklamasi berkenaan pada 3 Ogos 2026 selepas memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Pihak berkenaan turut mendakwa tandatangan tersebut melengkapkan surat cara itu berdasarkan tafsiran mereka terhadap Perkara 10(2) UUTKNS,” ujarnya.
Aminuddin berkata, Ismail kemudiannya mengakui tandatangan tersebut sebagai tandatangannya tetapi mendakwa bahawa beliau menandatangani dokumen tersebut dalam keadaan terpaksa.
Ujarnya lagi, dakwaan tersebut dibawa kepada pihak berkuasa dan sewajarnya siasatan diberikan ruang untuk menentukan fakta sebenar tanpa sebarang prejudis.
Namun begitu, menurut Aminuddin, dari sudut tanggungjawab awam, masih ada persoalan yang perlu dijawab oleh Ismail.

“Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama? Inilah persoalan yang perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat,” soalnya.
Tegas Aminuddin, Perkara 10 UUTKNS perlu dibaca sebagai suatu proses perlembagaan yang mempunyai syarat dan tatacara tersentu.
Katanya, antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kehendak berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap telah benar-benar dipenuhi sebelum tindakan selanjutnya dibuat.'
Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu turut merujuk pendirian Jabatan Peguam Negara AGC pada 17 September yang mengambil pendirian bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2926 tidak sah susulan kehendak mandatori Perkara 10 tidak dipatuhi.
“AGC juga menegaskan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Bagaimanapun, Aminuddin mengakui terdapat pendirian berbeza antara Sekretariat Undang Yang Empat yang mempertikai pendirian AGC dan mendakwa proses siasatan yang dilaksanakan pada 5 Mac dan 19 April telah memenuhi kehendak Perkara 10.
“Perbezaan tafsiran ini sendiri menunjukkan bahawa isu pematuhan Perkara 10 adalah persoalan substantif dan bukannya isu yang boleh dipermudahkan dengan menyalahkan satu pihak sahaja.
“Saya berpegang pada pendirian Jabatan Peguam Negara yang lebih berautoriti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata beliau sedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dilakukannya semasa menjadi Menteri Besar.
“Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Saya akan menjawab berdasarkan rekod,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Ismail juga perlu jujur dalam menjelaskan tindakannya sendiri kerana rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut.
Tambahnya, rakyat juga berhak untuk mengetahui keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menandatangani proklamasi tersebut.
“Rekod yang diketahui rakyat hari ini adalah mudah. Ketika dokumen itu dikemukakan kepada saya, saya memilih untuk tidak secara rela atau paksa menandatanganinya kerana terdapat persoalan mengenai proses dan kesahihannya.
“Apabila dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh Dato’ Ismail dan beliau selepas itu mendakwa dipaksa, maka rakyat berhak mendapat penjelasan yang lengkap.
“Dalam perkara yang melibatkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar, penjelasan kepada rakyat mestilah berasaskan fakta, proses dan rekod yang sebenar.
“Jangan lakukan manipulasi sekadar untuk melepaskan diri dan keterlanjuran,” katanya.

