Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jabatan Penjara Ambil Tindakan Tegas Susulan Rusuhan Penjara Taiping

penjara
Penjara Taiping

Jabatan Penjara Ambil Tindakan Tegas Susulan Rusuhan Penjara Taiping

Seorang anggota penjara telah didakwa di mahkamah manakala lima lagi kakitangan sedang menjalani prosiding tindakan tatatertib susulan insiden rusuhan di Penjara Taiping yang mengorbankan seorang tahanan pada Januari tahun lalu.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan tersebut diambil hasil siasatan yang dijalankan dengan kerjasama penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut jabatan itu, langkah tersebut bagi memastikan proses siasatan dilakukan secara bebas, telus dan menyeluruh.

Seorang anggota penjara didakwa di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, manakala lima lagi kakitangan sedang berdepan tindakan tatatertib yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Tindakan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang tanpa melindungi mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping didakwa diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Januari 2025.

Kejadian itu menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61, meninggal dunia.

Susulan insiden berkenaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengesahkan berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan semasa dan selepas kejadian.

Jabatan Penjara menegaskan pihaknya mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.

Menurutnya, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya sebelum tindakan bersesuaian diambil terhadap pegawai atau kakitangan yang didapati bersalah.

Dalam perkembangan sama, jabatan itu memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara.

Ia termasuk cadangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi lama yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

Menurut jabatan itu, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang dikenal pasti memerlukan penggantian.

“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara,” katanya.

Jabatan Penjara menegaskan akan terus melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti.