Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

ITC Perluas Program Pelancongan Mesra Muslim Malaysia Ke China

Islamic Tourism Centre (ITC) memperluas pelaksanaan Program Pengiktirafan Jaminan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) Malaysia ke China menerusi kerjasama strategik dengan Halal Certification Services (Chongqing) Co., Ltd. (HCS).

Iklan

Menurut ITC dalam kenyataan, kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) Ke-5 pada 5 November lalu.

Menerusi perjanjian tersebut, HCS dilantik sebagai ejen tempatan ITC di China bagi menyelaras pelaksanaan kerangka MFAR Malaysia dalam pasaran berkenaan.

Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata kerjasama antarabangsa penting untuk memperkukuh piawaian bersama serta membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim global yang lebih saling terhubung.

“Masa depan pelancongan mesra Muslim tidak boleh dibentuk oleh negara yang bergerak secara bersendirian. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat, perkongsian kepakaran serta komitmen bersama untuk membangunkan ekosistem yang diyakini, inklusif dan responsif terhadap keperluan pelancong Muslim di seluruh dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ITC akan menyediakan latihan dan sokongan teknikal bagi membangunkan keupayaan HCS, termasuk menerusi program Latihan untuk Jurulatih (ToT).

Selepas melengkapkan latihan berkenaan, HCS akan dapat mengendalikan latihan kompetensi MFAR kepada ahlinya serta menjalankan audit premis berdasarkan keperluan program.

HCS turut diberikan akses kepada sistem pendaftaran MFAR dalam talian bagi memudah cara permohonan baharu, manakala ITC kekal sebagai satu-satunya pihak yang mengeluarkan sijil pengiktirafan MFAR.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam pembangunan kapasiti, bantuan teknikal, penglibatan industri dan promosi bersama bagi memperkukuh kedudukan pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.

“Menerusi kerjasama ini, kita memperluas pengalaman dan kepakaran Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, di samping membangunkan keupayaan industri serta memperkukuh piawaian.

“Kami percaya kerjasama merentasi pasaran mampu membuka peluang baharu dan membentuk masa depan pelancongan global yang lebih saling terhubung serta mampan,” kata Mohammad Faisal.

MoU itu ditandatangani beliau bersama Pengurus Besar HCS, Zheng Yu (Ayisha).

Kerjasama tersebut dijangka menjadi asas kepada pembangunan ekosistem pelancongan mesra Muslim di Chongqing melalui penerapan kerangka MFAR Malaysia.

Menurut ITC, langkah itu menyusul beberapa kerjasama strategik yang dimeterai pada Julai lalu bersama China International Travel Services (CITS), Oriental Zhen Shang (Beijing) Cultural Media Co., Ltd. dan Xi’an You Shen Creative Marketing Planning Co., Ltd.

Kerjasama terdahulu turut melibatkan Dorsett Hospitality International serta rangkaian hotelnya di Chengdu, Shanghai dan Wuhan.

WITC Ke-5 yang berlangsung pada 5 dan 6 November bertemakan “Faith and Family Beyond Borders” menghimpunkan pemegang taruh pelancongan antarabangsa, penggubal dasar dan pemain industri bagi memperkukuh kerjasama serta pertumbuhan mampan sektor pelancongan mesra Muslim.

ITC merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab membangunkan sektor pelancongan Islam di Malaysia.

Intipati
  • ITC memperluas program MFAR Malaysia ke China melalui kerjasama strategik dengan HCS Chongqing.
  • HCS dilantik sebagai ejen tempatan ITC bagi menyelaras pelaksanaan kerangka MFAR di China.
  • ITC akan menyediakan latihan, sokongan teknikal dan akses sistem pendaftaran MFAR dalam talian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan