Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Halal: Syarikat Pembekal Ayam Dan Empat Individu Didakwa Di Mahkamah Sesyen Shah Alam

isu halal
Kredit: The Kuala Lumpur Bar

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Sebuah syarikat penyembelihan ayam serta empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membekalkan bahan mentah berkenaan dengan memperdayakan pengguna.

Iklan

Empat individu berkenaan ialah Zafirah Karim, 36; Tanjena Akter Mollah, 35; Hossain Saddam, 34; dan Abdul Rahim Ariff Ali, 34, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Menurut pertuduhan, Ayam Segar BM Sdn Bhd serta Zafirah dan Tanjena sebagai pengarah syarikat, manakala Hossain yang merupakan pengurus didakwa telah membekalkan makanan, iaitu 6,555 kilogram (kg) ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Abdul Rahim pula didakwa bersubahat dengan Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn. Bhd. untuk melakukan kesalahan yang sama.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 30 Okt di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

Pertuduhan dikemukakan mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, yang boleh dihukum di bawah subperenggan 5(a) perintah sama, dan jika sabit kesalahan syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pengarah, pengurus serta Abdul Rahim mereka didakwa di bawah subperenggan sama yang boleh dihukum bawah subperenggan 5 (b) perintah serupa, membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Untuk kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Selangor Norhashimah Hashim, manakala Zafirah, Tanjena dan Hossain diwakili Peguam Bernard Francis kecuali Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam.

Mohd Sophian menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 selain syarat tambahan kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap bulan.

Sementara itu, Tanjena dan Hossain yang merupakan warga asing, mereka tidak ditawarkan sebarang jaminan.

“Kedua-dua mereka ini merupakan warganegara Bangladesh dan mempunyai risiko untuk pulang ke negara asal, sekali gus menyukarkan pihak pendakwaan untuk mengesan mereka jika perkara itu berlaku,” katanya.

Bernard memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada RM3,500 bagi kesemua anak guamnya dengan mengambil kira kerjasama yang telah diberikan kesemua anak guam sepanjang siasatan dilakukan.

Abdul Rahim yang merupakan bapa tunggal dan menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun memohon jumlah minimum pada RM1,000.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh warganegara dijamin RM35,000 serta perlu mematuhi syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri ke pejabat JAIS dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Namun, dua tertuduh warganegara Bangladesh itu tidak dibenarkan dijamin, selain sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan.