Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Istana Selangor Tidak Lindungi Individu Terlibat Kes Penyamaran Pengawal Peribadi Raja Muda

istana
Kredit: Bernama

Pentadbiran Istana Selangor tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes penipuan membabitkan individu yang didakwa menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam satu kenyataan berkata, pihak pentadbiran istana memandang serius perbuatan menyalahgunakan nama institusi diraja untuk kepentingan peribadi.

Menurut kenyataan itu, pihak istana menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus berhubung kes berkenaan.

“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana sekiranya terdapat sebarang dakwaan yang mengaitkan kedudukan seseorang individu dengan Istana Selangor dalam urusan tertentu.

Langkah itu bertujuan mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan susulan perbuatan menyamar atau menyalahgunakan nama istana.

Terdahulu, tular di platform Threads dakwaan seorang lelaki memperdayakan orang awam menerusi urusan penjualan tanah dan kereta mewah dengan menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor bagi meraih keuntungan peribadi.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.