KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan terdapat rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kapal penumpang Virgo Transport 8 di Laut Jawa, Indonesia.
Kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra itu memaklumkan pihaknya sedang memantau laporan mengenai kapal penumpang berkenaan dan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan bagi mendapatkan senarai rasmi penumpang serta maklumat lanjut yang telah disahkan mengenai insiden itu.
“Pada peringkat awal ini, kementerian belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan terdapat rakyat Malaysia terlibat dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan kementerian pada Ahad.
Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat penumpang serta mendapatkan perkembangan lanjut.
Terdahulu, laporan yang memetik pihak berkuasa Indonesia memaklumkan 103 daripada 243 orang yang berada di atas kapal penumpang Virgo Transport 8, yang dilaporkan hilang di Laut Jawa awal pagi Ahad, telah diselamatkan, manakala seorang dilaporkan maut.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke Indonesia supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia juga digalakkan mendaftar dan memastikan maklumat perhubungan mereka sentiasa dikemas kini menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Mereka yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian pertanyaan umum +62 21 522 4947, manakala bagi bantuan selepas waktu pejabat, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian kecemasan kedutaan di +62 813 8081 3036.
Kedutaan juga boleh dihubungi menerusi e-mel di [email protected].

