Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Insiden Tarik Kerusi Pelajar, Mahkamah Tinggi Tolak Saman RM1 Juta

Insiden Tarik Kerusi Pelajar
Kredit: Bernama

SHAH ALAM, 18 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman sivil RM1 juta difailkan seorang remaja perempuan yang menghidap palsi serebrum bersama-sama ibu bapanya terhadap enam defendan, berhubung insiden beliau terjatuh selepas seorang murid lain didakwa menarik kerusi di sebuah sekolah di sini pada tahun 2023.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun turut memerintahkan pihak plaintif membayar kos sebanyak RM10,000.

Beliau ketika membacakan penghakimannya memutuskan bahawa pihak plaintif gagal membuktikan kecuaian dan perkaitan sebab akibat yang diperlukan antara dakwaan kelemahan dalam penyeliaan serta penjagaan, dengan kecederaan atau penderitaan tambahan yang didakwa.

Mengenai dakwaan kecuaian penyeliaan, Anita berkata defendan pertama telah mengakui bahawa beliau merupakan satu-satunya guru yang ada pada masa itu dan perhatiannya terbahagi antara dua kumpulan murid dengan keperluan yang berbeza.

Bagaimanapun, beliau berkata keterangan tidak membuktikan bahawa susunan penyeliaan itu tidak munasabah atau sebarang langkah berjaga-jaga munasabah yang telah diabaikan akan dapat mengelakkan kejatuhan tersebut.

“Plaintif pertama sendiri mengakui bahawa ia berlaku dengan pantas, tanpa didahului sebarang pertengkaran. Kecuaian penyeliaan, bahawa kejatuhan itu (disebabkan olehnya) tidak dapat dibuktikan,” katanya dan berkata ketika kejadian, plaintif pertama sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di Shah Alam.

Anita berkata keputusan itu tidak menafikan kecederaan plaintif pertama atau beban yang ditanggung oleh keluarganya, tetapi ia mencerminkan kegagalan untuk membuktikan kecuaian dan perkaitan sebab akibat yang diperlukan oleh undang-undang bagi mewujudkan liabiliti.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan yang mewakili kesemua enam defendan memohon kos sebanyak RM30,000, manakala peguam plaintif, Sofian Azmir memohon RM10,000, sebelum Pesuruhjaya Kehakiman memerintahkan pihak plaintif membayar kos RM10,000 kepada kesemua enam defendan.

Saman itu difailkan bapa remaja terbabit Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39, bagi pihak dirinya, isterinya dan anak perempuan mereka, terhadap enam defendan iaitu tiga orang guru, Guru Besar, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia.

Sementara itu selepas prosiding, Sofian berkata mereka tidak bersetuju dengan keputusan itu dan akan memfailkan rayuan tidak lama lagi.

“Kami tidak bersetuju dan kami percaya telah berlaku khilaf. Kami akan membuat rayuan secepat mungkin, atas sebab beberapa hujah tidak ditegaskan atau dinyatakan oleh Yang Arif.

“Kami mahu menegaskan bahawa kes ini membabitkan individu berkeperluan khas dan sepatutnya ada pemantauan,” katanya kepda media.

Pada Ogos 2024, media melaporkan bahawa remaja perempuan itu yang ketika itu berusia 12 tahun, telah menderita selama hampir setahun akibat komplikasi daripada kecederaan tulang belakang, selepas beliau terjatuh apabila seorang rakan menarik kerusi yang baru hendak didudukinya.

Kejadian berlaku pada 12 Okt 2023 itu didedahkan oleh ibunya Azera Yazid, 38, di platform TikTok, sebelum keluarga tersebut mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut pampasan atas kecederaan anak perempuan mereka dan kesan penderitaan yang dialaminya.