Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Inovasi Bekas Makanan Baharu Jemaah Haji Pastikan Kuah Tak Bercampur, Kekal Segar
Kebajikan jemaah haji Malaysia terus menjadi keutamaan Lembaga Tabung Haji (TH) apabila agensi itu memperkenalkan inovasi pek makanan baharu bagi memastikan hidangan yang sampai ke tangan jemaah kekal segar, berkualiti terutamanya, kuah tidak lagi bercampur dengan nasi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, penggunaan bekas sajian tiga kompartmen ini adalah jawapan kepada maklum balas jemaah sebelum ini yang sering mengadu hidangan menjadi kering dan kurang menyelerakan akibat penggunaan bekas aluminium.

"Kalau dahulu kuah mudah kering kerana proses pemanasan dan ia juga mudah bercampur dengan nasi, tetapi dengan bekas baharu ini, kuah dapat dikekalkan dengan lebih baik. Walaupun digoncang, ia tidak akan bercampur," katanya selepas meninjau operasi di Dapur Al Wafa dan Tadco Catering di sini.


Bukan sekadar bekas yang canggih, proses penyediaan makanan juga dilakukan dengan standard yang sangat ketat. Bagi memastikan kesegaran (freshness), persiapan untuk hidangan tengah hari dimulakan seawal jam 2 pagi.
Manakala bagi hidangan malam, krew dapur sudah mula bekerja sejak jam 10 pagi.
Menerusi sistem kawalan suhu yang rapi, makanan yang telah siap akan ditempatkan di dalam hot lunch box dan disimpan di dalam warmer pada suhu 60 darjah Celsius sebelum dihantar ke hotel-hotel jemaah.
Ini bagi memastikan kualiti makanan tidak terjejas walaupun perlu melalui prosedur pemeriksaan di pintu masuk (checkpoint) yang ketat.
Bagi mengelakkan jemaah rasa jemu, TH menyediakan 52 menu secara keseluruhan dengan pusingan (cycle) selama 14 hari.

Difahamkan, 19 Cef Malaysia ditempatkan di tujuh dapur utama di Makkah dan Madinah untuk menjaga "standard rasa" tanah air.
Malah dari segi menu, jemaah yang mempunyai alergi makanan (seperti tidak boleh makan ayam atau daging akibat gaut) akan disediakan menu alternatif seperti ikan melalui sistem borang khas.
Paling penting pihak dapur katering (seperti Tadco) mematuhi piawaian ISO 9001 dan syarat ketat Baladiah (pihak berkuasa tempatan Arab Saudi) bagi menjamin keselamatan makanan.
Bagaimanapun, jemaah dinasihatkan untuk menikmati hidangan tersebut dalam tempoh dua jam selepas diterima bagi memastikan kesegaran dan kualiti rasa yang optimum.