Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ini Sebab Mengapa Ada Ubat Perlu Diambil Sebelum Atau Selepas Makan
Apabila mendapatkan ubat di klinik atau farmasi, pesakit lazimnya akan diberikan panduan yang jelas mengenai waktu yang sesuai untuk memakannya.
Ada ubat yang perlu diambil sebelum makan, manakala sebahagian yang lain pula disarankan selepas makan.
Arahan ini bukan sekadar formaliti, sebaliknya mempunyai tujuan tertentu yang berkait rapat dengan keberkesanan dan keselamatan ubat tersebut.
Persoalannya, apakah faktor yang menentukan sama ada sesuatu ubat perlu diambil sebelum atau selepas makan?
Kali ini, SK ingin kongsikan penjelasan daripada portal Mount Elizabeth.
Menurut portal Mount Elizabeth, terdapat beberapa sebab utama mengapa ubat tertentu perlu diambil ketika perut kosong.
Salah satu sebabnya ialah untuk meningkatkan kadar penyerapan ubat ke dalam aliran darah.
Apabila diambil tanpa kehadiran makanan, sesetengah ubat dapat diserap dengan lebih cepat dan berkesan.
Kehadiran makanan boleh melambatkan proses ini atau mengganggu tindak balas kimia dalam sistem pencernaan.
Sebagai contoh, ubat tiroid oral seperti Levothyroxine disarankan diambil ketika perut kosong bagi memastikan penyerapan yang optimum.

Difahamkan, jika diambil bersama makanan, keberkesanannya boleh berkurangan.
Begitu juga dengan ubat antidiabetik tertentu seperti Semaglutide yang perlu diambil sekurang-kurangnya 30 minit sebelum pengambilan makanan, minuman atau ubat lain, dan hanya dengan air kosong.
Selain itu, pengambilan ubat sebelum makan juga dapat mengelakkan interaksi dengan makanan.
Komponen dalam makanan seperti mineral, serat dan lemak boleh mengikat ubat atau mengubah kesannya, sekali gus menjejaskan keberkesanan rawatan.
Sebagai contoh, antibiotik seperti Ciprofloxacin dan Doxycycline tidak digalakkan diambil bersama produk tenusu seperti susu, yogurt atau keju kerana boleh mengurangkan penyerapan ubat tersebut.
Sebaliknya, portal Mount Elizabeth turut menjelaskan bahawa terdapat ubat yang lebih sesuai diambil selepas makan.
Antara sebabnya ialah untuk meningkatkan toleransi terhadap ubat.
Hal ini disebabkan sesetengah ubat boleh menyebabkan iritasi pada perut atau kesan sampingan seperti loya, muntah dan ketidakselesaan gastrousus.
Pengambilan selepas makan dapat membantu melindungi lapisan perut dan mengurangkan risiko kesan sampingan ini.
Sebagai contoh, suplemen zat besi serta ubat seperti Allopurinol disarankan diambil selepas makan bagi mengurangkan rasa loya.
Begitu juga dengan Aspirin yang boleh menyebabkan iritasi perut jika diambil ketika perut kosong.

Selain itu, terdapat juga ubat yang lebih berkesan apabila diambil bersama makanan.
Makanan boleh memperlahankan pergerakan ubat dalam saluran pencernaan, sekali gus membantu penyerapan yang lebih baik.
Ini khususnya melibatkan ubat yang larut dalam lemak, yang memerlukan kehadiran lemak dalam diet untuk diserap dengan optimum, seperti ubat antimalaria dan antiparasit tertentu.
Portal Mount Elizabeth turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa jenis makanan yang perlu diberi perhatian ketika mengambil ubat:
Produk tenusu: Boleh mengurangkan penyerapan antibiotik tertentu dan suplemen zat besi.
Limau gedang (grapefruit): Boleh mengganggu proses pemecahan ubat dalam badan dan meningkatkan risiko kesan sampingan.
Makanan tinggi serat: Boleh menjejaskan penyerapan ubat tertentu seperti ubat tiroid dan antidepresan.
Kafein: Boleh mempengaruhi kadar penyerapan dan pemecahan ubat tertentu dalam badan.

Sebaliknya, makanan ringan seperti biskut tawar, roti, buah-buahan tidak berasid serta hidangan rendah lemak boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan ketika mengambil ubat tertentu.
Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mengesyorkan jenis makanan khusus untuk diambil bersama ubat bagi memastikan keberkesanan maksimum.