Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Sebab Anda Tak Patut Tunggu Bateri Habis Baru Cas

Athirah
cas
Kredit: Flow

Ini Sebab Anda Tak Patut Tunggu Bateri Habis Baru Cas

Dalam kehidupan seharian, telefon pintar sudah menjadi keperluan utama bagi kebanyakan orang, sama ada untuk berkomunikasi, bekerja mahupun tujuan hiburan.

Namun, masih ramai yang mempunyai tabiat mengecas telefon hanya apabila bateri sudah benar-benar habis atau peranti telah mati.

Sebenarnya, amalan ini boleh memberi kesan kepada jangka hayat bateri dan prestasi telefon dalam jangka panjang.

Justeru, SK kali ini akan menjelaskan risiko mengecas telefon secara tidak betul serta masa yang paling sesuai untuk mengecas agar peranti anda kekal tahan lama dan berfungsi dengan baik.

"Jangan tunggu phone mati baru nak cas"

Menerusi perkongsian daripada @abangfixbay di TikTok, antara kesilapan paling biasa ialah membiarkan bateri habis sehingga 0 peratus secara berulang.

Difahamkan, tindakan ini boleh menyebabkan kitaran cas (charging cycle) menjadi lebih berat dan seterusnya mempercepatkan kemerosotan sel lithium dalam bateri.

Dalam keadaan tertentu, bateri yang terlalu kosong juga boleh memasuki fasa “deep discharge” di mana voltan terlalu rendah sehingga sistem keselamatan bateri akan mengunci fungsi pengecasan bagi mengelakkan risiko kerosakan atau letupan kecil.

Menurut @abangfixbay, terdapat juga risiko bateri kembung apabila pengecasan tidak dikawal dengan baik atau voltan tidak stabil.

Dalam situasi ini, gas boleh terbentuk di dalam bateri dan menyebabkan perubahan fizikal yang berbahaya kepada peranti.

Selain itu, penggunaan bateri sehingga telefon mati sendiri setiap hari juga tidak digalakkan.

Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada komponen dalaman, malah berpotensi menyebabkan masalah seperti data korup atau sistem operasi menjadi tidak stabil.

Sebagai langkah pencegahan, pengguna disarankan untuk mula mengecas telefon apabila bateri mencapai sekitar 20 peratus.

Di samping itu, pengguna perlu elakkan membiarkan telefon mati sepenuhnya dan jangan memaksa peranti untuk dihidupkan jika ia tidak memberi tindak balas selepas pengecasan lama.

Jika masalah berterusan, mendapatkan bantuan teknikal adalah langkah paling selamat.

Penjagaan bateri yang betul bukan sahaja memanjangkan jangka hayat telefon, malah mengelakkan risiko kerosakan serius pada peranti anda.