Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Infrastruktur Telekom Israel Didakwa Diguna Untuk Jejaki Individu Di Lebih 10 Negara, Termasuk Malaysia
Infrastruktur telekomunikasi milik Israel didakwa telah digunakan sejak tiga tahun lalu untuk menjejaki individu di lebih 10 negara, lapor Anadolu Agency.
Infrastruktur yang merangkumi rangkaian telekomunikasi dibina sejak era 1970-an hingga sistem 5G moden, didakwa telah dijadikan sebagai “alat penjejakan” menerusi penggunaan perisian pengintip canggih.
Dakwaan itu dibuat berdasarkan siasatan kumpulan penyelidikan digital berpangkalan di Kanada, Citizen Lab.
Sejak November 2022, lebih 15,700 cubaan dikesan bagi menentukan lokasi telefon di pelbagai negara, termasuk Thailand, Afrika Selatan, Norway, Bangladesh dan Malaysia melalui infrastruktur syarikat telekomunikasi berpangkalan di Israel, menurut penemuan siasatan tersebut.
Dokumen dalaman yang diperoleh akhbar Israel, Haaretz mendedahkan bahawa Verint, syarikat induk kepada Cognyte telah menjual sistem penjejakan berasaskan SS7 yang dikenali sebagai SkyLock kepada pelanggan kerajaan di Republik Demokratik Congo.
Penemuan itu turut menunjukkan bahawa Fink Telecom Services membolehkan firma pemantauan Israel seperti Rayzone menyamar sebagai pengendali rangkaian selular dan berhubung dengan rangkaian mudah alih lama.
Keadaan itu sekali gus membolehkan pengguna di seluruh dunia dijejaki menerusi eksploitasi protokol isyarat SS7 bagi tujuan pemantauan.
Menurut Haaretz, SS7 pada asalnya dibangunkan untuk mengendalikan laluan panggilan dan pesanan teks, selain menyokong perayauan antarabangsa serta membolehkan kesalingoperasian antara pengendali mudah alih.
Laporan itu turut menyatakan bahawa sistem Diameter generasi baharu yang mengurus rangkaian 4G dan 5G juga dieksploitasi.
Difahamkan, salah satu teknik serangan siber paling ketara yang digunakan ialah SIMjacking.
Melalui kaedah itu, mesej SMS tersembunyi yang tidak dapat dilihat pengguna dihantar ke telefon sasaran, manakala arahan dalam mesej tersebut memaksa kad SIM berkongsi lokasi peranti, menurut penemuan siasatan berkenaan.
Siasatan itu juga mendapati operasi penjejakan telefon dilakukan menerusi rangkaian syarikat telekomunikasi Israel, 019Mobile dan Partner Communications.
AA melaporkan 019Mobile dalam maklum balasnya berkata syarikat itu hanyalah pengendali maya dan identitinya mungkin telah disalah guna, selain menafikan sebarang penglibatan dalam operasi penjejakan tersebut.
Setakat ini, Fink Telecom Services, Partner Communications, Exelera Telecom dan Cognyte/Verint masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung pendedahan tersebut.