Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Rampas 1.16 Tan Ketamin Di Selat Melaka, Kapal Milik Syarikat Malaysia Ditahan

Kapal Milik Syarikat Malaysia Ditahan
Kredit: AFP

Pihak berkuasa Indonesia merampas sebanyak 1.16 tan dadah jenis ketamin bernilai kira-kira 3.48 trilion rupiah (kira-kira RM786 juta) daripada sebuah kapal tangki milik syarikat Malaysia.

Memetik AFP, Ketua Unit Siasatan Narkotik Polis Nasional, Suyudi Ario Seto berkata kapal tangki MT Global 168 yang membawa muatan dadah itu ditahan dalam operasi bersama polis dan pegawai kastam di perairan Selat Melaka pada Selasa lalu.

Kapal milik syarikat Malaysia ditahan

Menurut Suyudi, kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru.

Kapal berkenaan dilaporkan sedang menuju ke Pelabuhan Klang, Malaysia, sebelum dipintas pihak berkuasa Indonesia dan dibawa ke Pelabuhan Belawan di Sumatera Utara untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan tersebut, pasukan gabungan berjaya merampas dadah terlarang jenis ketamin HCL (hidroklorida).

“Barang bukti itu ditemukan dalam 58 guni dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 1.16 tan,” katanya kepada pemberita di Medan.

Suyudi berkata, pihak perisikan mula memantau pergerakan kapal tangki berkenaan sejak Ogos lalu selepas menerima maklumat mengenai kemungkinan aktiviti mencurigakan.

Kapal tersebut dikesan belayar dari Thailand melalui Laut Andaman sebelum dipintas ketika menuju ke Malaysia.

Susulan operasi tersebut, pihak berkuasa menahan lapan anak kapal terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan.

Ketamin merupakan sejenis ubat bius yang bertindak pantas, namun sering disalahgunakan sebagai dadah rekreasi. Pengedaran bahan berkenaan dikawal dan dipantau dengan ketat di Indonesia.

Rampasan terbaharu itu berlaku lebih dua bulan selepas pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal berhampiran Kepulauan Riau yang membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand yang disembunyikan dalam 65 guni.

Makmal dadah haram diserbu di Aceh

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Indonesia turut membongkar sebuah makmal haram yang menghasilkan dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam serbuan di Kabupaten Pidie, wilayah Aceh, pada Rabu.

Menurut Suyudi, operasi berkenaan membawa kepada rampasan sebanyak 1.2 tan syabu yang dianggarkan bernilai 2.16 trilion rupiah.

Seramai 11 individu, terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan dua warga China, ditahan di beberapa lokasi sepanjang operasi tersebut.

Untuk rekod, Indonesia merupakan antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah.

Bagaimanapun, negara itu telah mengekalkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu.

Sumber:AFP.com