Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Mungkin Perlukan 350 Tahun Untuk Pulihkan Kawasan Hutan Yang Terbakar - Kajian

Indonesia Perlukan 350 Tahun Pulihkan Hutan
Kredit: ANTARA

Sepanjang 2026, kebakaran hutan dan tanah berlaku di beberapa kawasan Indonesia, termasuk padang rumput di Papua serta tanah gambut di Sumatera dan Borneo.

Iklan

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, namun persoalan lebih besar timbul selepas api dan jerebu mula reda.

Berapa lama masa diperlukan untuk kawasan yang musnah akibat kebakaran kembali pulih seperti keadaan asal?

Untuk mengetahuinya, jumlah karbon yang hilang akibat pembakaran tumbuhan dan tanah perlu dianggarkan, termasuk tempoh masa untuk menggantikannya.

Tempoh pemulihan bergantung pada tahap kemusnahan, kedalaman tanah yang terbakar serta jenis tumbuhan dan tanah di kawasan terbabit.

Menerusi analisis yang diterbitkan di The Conversation, penyelidik mendapati kawasan yang terbakar di Indonesia sepanjang 2026 mungkin mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun untuk pulih sepenuhnya.

Namun, tempoh itu hanya boleh dicapai jika usaha pemulihan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan kawasan berkenaan tidak lagi mengalami kebakaran.

Berapa Banyak Karbon Hilang Akibat Kebakaran?

Menurut data platform pemantauan bebas, Nusantara Atlas, kira-kira 1.9 juta hektar kawasan di Indonesia terbakar sehingga penghujung September lalu.

Keluasan itu bersamaan kira-kira 12 kali ganda saiz London dan 38 peratus lebih besar berbanding kawasan terbakar sepanjang musim kebakaran hutan 2019.

Ketika itu, Indonesia turut berdepan fenomena El Niño yang menyebabkan keadaan cuaca lebih kering.

Berdasarkan pengiraan daripada kajian terdahulu mengenai pengurusan tanah dan kadar pelepasan karbon, kebakaran itu membebaskan kira-kira 100 juta tan karbon.

Jumlah tersebut bersamaan kira-kira 370 juta tan karbon dioksida (CO₂), iaitu sebanyak pelepasan tahunan 97 loji janakuasa arang batu.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana satelit tidak semestinya dapat mengesan kebakaran kecil atau kawasan yang dilitupi jerebu tebal.

Malah, saintis daripada Copernicus Atmosphere Monitoring Service menjangkakan pelepasan karbon akibat kebakaran di Indonesia boleh mencecah 200 juta tan menjelang Oktober.

Walaupun hanya membabitkan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kawasan terbakar, tanah gambut menyumbang sehingga 80 peratus pelepasan karbon ke atmosfera.

Gambut terbentuk daripada sisa tumbuhan yang mereput secara perlahan selama puluhan ribu tahun, sekali gus menyimpan jumlah karbon yang sangat besar.

Apabila terbakar, simpanan karbon yang terkumpul selama ribuan tahun boleh dilepaskan ke udara hanya dalam tempoh beberapa minggu, malah beberapa hari.

Sebab itu, tanah gambut mengambil masa jauh lebih lama untuk pulih berbanding ekosistem lain yang menyimpan kebanyakan karbon dalam tanah atau tumbuhan.

Indonesia pernah mengalami kebakaran tanah gambut lebih serius pada 2015, apabila lebih 900,000 hektar kawasan gambut musnah dijilat api.

Walaupun keluasan tanah gambut yang terbakar tahun ini masih lebih kecil berbanding 2015, kesan kebakaran terdahulu sebenarnya belum pulih sepenuhnya.

Kajian mendapati, sekiranya semua kawasan gambut yang terbakar pada 2015 berjaya dilembapkan semula setahun kemudian, jumlah karbon yang dapat dipulihkan hanya sekitar tiga peratus.

Tempoh Pemulihan Berbeza Mengikut Jenis Kawasan

Masa yang diperlukan untuk sesuatu kawasan pulih selepas kebakaran bergantung pada jenis ekosistem serta kemampuannya menyerap dan menyimpan karbon.

Padang rumput yang melibatkan kira-kira 300,000 hektar kawasan terbakar tahun ini biasanya boleh pulih dalam beberapa musim hujan.

Sementara itu, kawasan semak, tanah pertanian dan ladang tanaman yang melibatkan sehingga 550,000 hektar mungkin memerlukan beberapa tahun lagi untuk kembali produktif.

Hutan hujan tropika pula mengambil masa lebih panjang untuk pulih, dengan kira-kira 80,000 hektar kawasan hutan dilaporkan terbakar setakat ini.

Indonesia Mungkin Perlukan 350 Tahun Untuk Pulihkan Kawasan Hutan

Hutan yang pernah mengalami gangguan mungkin memerlukan 20 hingga 50 tahun untuk mengembalikan simpanan karbonnya, manakala hutan primer mengambil masa lebih lama.

Malah, pemulihan keseluruhan ekosistem dan kepelbagaian hidupan di dalam hutan mungkin mengambil masa sehingga ratusan tahun.

Tanah gambut pula merupakan antara kawasan yang paling lambat pulih selepas kebakaran.

Walaupun kawasan gambut dilembapkan semula dan ditanam dengan tumbuhan, ia hanya mampu menghasilkan sekitar 0.8 tan karbon bagi setiap hektar setahun.

Jumlah itu bersamaan pembentukan lapisan gambut setebal kira-kira dua milimeter setiap tahun.

Berdasarkan anggaran kajian, kawasan gambut yang terbakar sepanjang 2026 mungkin memerlukan sehingga 400 tahun untuk pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, anggaran itu mengandaikan semua usaha pemulihan berjalan lancar, termasuk melembapkan semula tanah, menanam tumbuhan dan mengelakkan kebakaran berulang.

Jika kawasan gambut yang rosak dibiarkan begitu sahaja atau dijadikan ladang kelapa sawit, proses pemulihannya mungkin tidak dapat dilakukan.

Ini kerana tanah gambut yang dikeringkan boleh terus kehilangan antara 10 hingga 20 tan karbon bagi setiap hektar setiap tahun, walaupun tanpa kebakaran.

Analisis turut menunjukkan kawasan gambut yang dipulihkan tetapi masih mengalami gangguan mungkin memerlukan 140 hingga 200 tahun untuk menggantikan separuh karbon yang hilang.

Lebih membimbangkan, usaha menggantikan 90 peratus karbon yang hilang pula boleh mengambil masa kira-kira 350 tahun.

Mengapa Sukar Untuk Pulihkan Tanah Gambut?

Selepas kebakaran besar pada 2015, kerajaan Indonesia menubuhkan Badan Restorasi Gambut (BRG) dengan sasaran memulihkan kawasan gambut seluas 2.5 juta hektar.

Antara usaha utama agensi itu ialah menutup ribuan saluran pengairan yang mengeringkan tanah gambut supaya kawasan berkenaan kekal lembap dan tidak mudah terbakar.

Sebelum dibubarkan pada 2025, agensi itu mendakwa berjaya memulihkan kira-kira 1.6 juta hektar tanah gambut di luar kawasan konsesi perniagaan seluruh Indonesia.

Namun, kebakaran kembali berlaku tahun ini di beberapa wilayah yang pernah disenaraikan sebagai kawasan utama untuk usaha pemulihan gambut.

Antaranya termasuk Sumatera Selatan di Pulau Sumatera serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah di Borneo.

Kebakaran hutan dan tanah yang terus berulang menunjukkan cabaran pemulihan bukan sekadar bergantung pada teknologi atau kaedah yang digunakan.

Sebaliknya, masalah itu turut berkait dengan kegiatan manusia, kepentingan ekonomi dan cara tanah diuruskan.

Bagi sesetengah penduduk, kaedah tebang dan bakar masih menjadi pilihan paling murah untuk membersihkan tanah sebelum digunakan bagi tujuan pertanian.

Malah, tanah yang dibersihkan menggunakan api juga boleh memberikan keuntungan lebih tinggi kepada pemiliknya.

Di wilayah Riau, Sumatera, tanah yang dibersihkan melalui pembakaran boleh dijual pada harga 1.3 kali ganda lebih tinggi berbanding tanah yang dibersihkan menggunakan kaedah tebang sahaja.

Usaha memulihkan tanah gambut juga menjadi lebih rumit apabila wujud pertindihan tuntutan pemilikan tanah serta permintaan tinggi terhadap tanaman komersial seperti kelapa sawit.

Pada masa sama, tanaman yang sesuai ditanam di kawasan lembap seperti sagu dan jelutong (Dyera costulata) masih kurang mendapat sokongan pasaran untuk memberikan keuntungan kepada pengusahanya.

Justeru, pemulihan tanah gambut dan kawasan lain yang rosak tidak boleh bergantung pada penutupan saluran air atau penanaman semula pokok semata-mata.

Usaha itu turut memerlukan peluang ekonomi yang mampu menggalakkan penduduk setempat mengekalkan kelembapan tanah gambut.

Hujan akhirnya dapat memadamkan api dan hutan akan kembali tumbuh sedikit demi sedikit, namun karbon yang terlepas sepanjang 2026 mungkin mengambil masa ratusan tahun untuk digantikan.

Keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya usaha pemulihan dilakukan dengan serius supaya kehilangan karbon hari ini tidak menjadi beban alam sekitar kepada generasi akan datang.

Intipati
  • Kira-kira 1.9 juta hektar kawasan Indonesia terbakar sehingga September, menurut data Nusantara Atlas.
  • Kebakaran dianggarkan membebaskan 100 juta tan karbon, dengan tanah gambut menyumbang pelepasan terbesar.
  • Kajian menganggarkan tanah gambut terbakar mungkin memerlukan sehingga 400 tahun untuk pulih sepenuhnya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan