Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hutan Diceroboh, Suku Terasing Brazil Terpaksa Keluar Minta Bantuan Makanan

Suku Terasing Brazil Terpaksa Keluar
Kredit: Survival International

Kehadiran kira-kira 20 individu daripada suku Awá di sebuah kampung di Brazil mengejutkan penduduk setempat apabila mereka tiba-tiba muncul dari hutan Amazon selepas sekian lama hidup terasing.

Lebih membimbangkan, keadaan fizikal sebahagian daripada mereka, terutama kanak-kanak dan warga emas, mencetuskan kebimbangan kerana dipercayai mengalami kekurangan zat makanan yang serius.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Survival International, kumpulan itu muncul pada Isnin sebelum bertemu pasukan kerajaan dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai bersejarah.

Suku Terasing Brazil Terpaksa Keluar Minta Bantuan Makanan

Mereka kemudian meminta makanan daripada penduduk kampung, yang memberikan bekalan ubi keladi untuk dibawa pulang ke kawasan hutan.

“Mereka meminta ubi keladi dan membawa bekalan itu kembali ke dalam hutan,” menurut Survival International.

Kumpulan tersebut berasal daripada masyarakat Awá yang selama ini memilih untuk tinggal jauh daripada dunia luar dengan bergantung kepada kegiatan memburu dan mengumpul hasil hutan.

Namun, kehidupan mereka semakin terancam apabila kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mula diceroboh pembalak haram, pemburu dan penternak lembu.

Kampung yang dikunjungi kumpulan itu terletak dalam wilayah pribumi Arariboia di negeri Maranhão, timur laut Brazil, yang turut menjadi tempat tinggal masyarakat Guajajara.

Rakaman pertemuan yang dikongsikan Survival International memperlihatkan beberapa lelaki, wanita dan kanak-kanak berdiri di pinggir hutan dengan sebahagian tubuh terlindung di sebalik tumbuh-tumbuhan.

Mereka kelihatan tidak berpakaian dan memakai rantai, manakala beberapa lelaki turut membawa busur serta anak panah panjang.

Keadaan kumpulan itu turut mendapat perhatian Coapima, sebuah organisasi yang mewakili masyarakat pribumi di Maranhão, selepas penduduk kampung melihat tanda-tanda keadaan fizikal yang membimbangkan.

“Keadaan fizikal beberapa anggota kumpulan itu, khususnya kanak-kanak dan warga emas, menimbulkan kebimbangan penduduk kampung yang melihat tanda-tanda jelas kekurangan zat makanan yang serius,” menurut Coapima.

Organisasi itu turut mengingatkan bahawa pertemuan secara tiba-tiba dengan masyarakat luar boleh membahayakan kumpulan yang hidup terasing kerana mereka tidak mempunyai daya tahan mencukupi terhadap pelbagai penyakit.

Sementara itu, agensi kerajaan Brazil yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal masyarakat pribumi, Funai, memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kumpulan berkenaan.

Dalam kenyataan kepada AFP, Funai berkata pasukan teknikalnya turut meneliti maklumat yang diperoleh bagi menilai keadaan kesihatan mereka.

Pengarah Survival International, Caroline Pearce, pula melihat kemunculan kumpulan Awá itu sebagai gambaran betapa seriusnya ancaman yang dihadapi masyarakat pribumi akibat pencerobohan hutan.

“Apabila hutan masyarakat yang tidak pernah berhubung dengan dunia luar terus diceroboh, mereka yang selama ini mampu hidup berdikari kini berdepan bahaya sebenar,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai semakin membimbangkan kerana kawasan hutan yang boleh didiami masyarakat Awá semakin mengecil akibat kemusnahan di sekeliling mereka.

“Mereka semakin terhimpit dalam kawasan hutan Amazon yang semakin kecil, dikelilingi kemusnahan,” katanya.

Menurut Survival International, kira-kira 196 masyarakat dan kumpulan pribumi yang memilih untuk hidup terasing telah dikenal pasti di 10 negara.

Lebih 90 peratus daripada kumpulan itu menetap di hutan Amazon, khususnya di Brazil, manakala selebihnya berada di Indonesia dan India.

Ancaman terhadap masyarakat Awá turut disuarakan Forest Guardians, kumpulan masyarakat Guajajara yang sudah bertahun-tahun berusaha menghalang pencerobohan haram di kawasan berkenaan.

Mereka memberi amaran bahawa perubahan iklim, kebakaran hutan, penebangan pokok dan pencerobohan tanah semakin mengganggu kehidupan masyarakat Awá.

Survival International turut mendedahkan bahawa ramai anggota Forest Guardians kehilangan nyawa ketika mempertahankan kawasan hutan yang dikongsi bersama masyarakat Awá daripada ancaman pencerobohan.

Intipati
  • Kira-kira 20 anggota suku Awá muncul di kampung Brazil dan meminta bekalan ubi keladi.
  • NGO dan penduduk bimbang beberapa kanak-kanak serta warga emas dipercayai kekurangan zat makanan serius.
  • Funai sedang memantau kumpulan itu ketika pencerobohan hutan dilaporkan mengecilkan kawasan didiami Awá.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan