Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Sebuah helikopter berdaftar di Ukraine meletup dan terbakar ketika menjalani ujian pengoperasian enjin di kawasan hangar penyelenggaraan (MRO) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, tengah hari tadi, menyebabkan seorang kru warga Ukraine cedera, manakala tiga lagi terselamat.
Difahamkan, berdasarkan maklumat Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), keempat-empat mangsa ialah lelaki warga Ukraine, terdiri daripada seorang juruterbang, seorang pembantu juruterbang dan dua kru.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata mangsa yang cedera itu merupakan seorang kru yang berada di luar helikopter dan terkena serpihan akibat letupan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ujian enjin dijalankan selepas kerja-kerja penyelenggaraan helikopter berkenaan.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.30 tengah hari.
"Sebaik menerima panggilan, lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata setibanya di lokasi kejadian pada 12.34 tengah hari, komander operasi melaporkan sebuah helikopter musnah terbakar 100 peratus susulan letupan berkenaan.
Beliau berkata kerja-kerja pemadaman awal telah dilakukan oleh pasukan AFRS bersama-sama anggota bertugas di kawasan Karbon MRO, Lapangan Terbang Subang.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan berasingan mengesahkan helikopter terbabit ialah jenis Kamov Ka-32S dengan nombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT.
Menurut CAAM, kejadian berlaku pada 12.28 tengah hari ketika helikopter itu menjalani ujian pengoperasian enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.
Susulan kejadian itu, landasan lapangan terbang berkenaan ditutup sementara, manakala semua penerbangan berlepas dan mendarat ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Siasatan kejadian dikendalikan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan