Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkongsi mengenai majlis sambutan Hari Guru yang diadakan dengan guru-guru lama beliau.
"Tahun ini saya berpeluang meraikan majlis Hari Guru dengan cikgu-cikgu lama saya, dari Sekolah Rendah Stowell sampai ke High School Bukit Mertajam," kongsi beliau di Facebook.
Tambah beliau, walaupun sudah lama tidak berjumpa dengan guru-gurunya, namun muka-muka mereka masih segar dalam ingatan. Malah, memori bersama guru-guru sekolahnya masih segar dalam ingatan.
"Saya ingat lagi cikgu Bahasa Melayu pertama masa darjah 1, Puan Zaniyah. Cara dia ajar saya baca, tulis, sampai saya boleh kuasai bahasa Melayu.

"Lagi sorang, cikgu Idrus, abang kepada PMX kita yang jadi Guru Besar masa saya di Stowell. Setiap kali lalu depan pejabat dia, saya mesti elak nak bertembung. Elak punya elak, sekali tu terserempak jugak, kena tarik sideburn sebab rambut panjang sikit," seloroh beliau.

Malah, menerusi perkongsian itu juga, beliau sempat berkongsi satu rangkap pantun;
Bagai pipit dengan enggang,
Manakan sama di langit biru.
Bagaikan sireh pulang ke ganggang,
Anaknda menghadap sekalian cikgu.
Menurutnya, masih segar dalam ingatannya mengenai dua orang gurunya, Cikgu Osman.
"Sebab nama sama, kami panggil sorang Cikgu Osman Besaq dan sorang lagi Cikgu Osman Kecik," kongsi beliau lagi.
Bukan itu sahaja, cikgu lain yang mengajar Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu sewaktu beliau sekolah menengah juga tidak dapat hadir. Tambah beliau, guru Bahasa Melayu itulah yang mula mengajar beliau untuk berpantun dan bersajak.
"Nama-nama macam Cikgu Fatimah Bee, Cikgu Siti Fatimah, Cikgu Azizah, Cikgu Chandra, Cikgu Chia Sin Chai, Cikgu Abu Seman, Cikgu Rada Krishnan, Cikgu Suria, Cikgu Wan Chik semua kekal dalam hati walaupun lebih 30 tahun tak bersua," ucap beliau.
Dalam perkongsian tersebut, beliau juga turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada guru kelasnya sewaktu tingkatan empat dan lima yang berusaha untuk mengumpul semula guru-guru High School dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Ujar beliau lagi, guru pertamanya di sekolah rendah ialah Puan Zaniyah, manakala di sekolah menengah pula, guru terakhirnya ialah Puan Rohana yang juga guru komputer.
"Cikgu Rohana yang jadi inspirasi saya ambik jurusan Sains Komputer waktu di universiti. Beliau juga satu-satunya cikgu yang masih berkhidmat sampai ke hari ini," tambah beliau.
Sementara itu, majlis tersebut juga menjadi rezeki untuk salah seorang gurunya, Cikgu Zaniyah yang berjaya memenangi cabutan bertuah iaitu pakej umrah bersama suami. Menurut beliau, dua tahun lepas, beliau pernah menghantar guru tersebut untuk melaksanakan ibadah umrah.
Ucap beliau lagi, walaupun lebih dari 30 tahun tidak bersua, namun mereka ini yang banyak berjasa dan membentuk perjalanan hidupnya.
Malah, guru-guru ini juga yang banyak mengajar menulis, membaca, berpantun,dan berbahasa.
"Tanpa mereka, tiadalah saya hingga ke tahap ini. Semoga dilimpahkan kesihatan, rahmat dan keberkatan atas setiap jasa cikgu dan semoga pahala mengalir selagi ilmu terus diamalkan oleh anak murid," tulis beliau lagi.