Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 15 sen seliter iaitu RM5.15 dan RM4.67.
Manakala harga runcit diesel tanpa subsidi kekal pada paras RM5.27 sen seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga baharu itu berkuat kuasa bagi tempoh 8 Oktober hingga 14 Oktober.
MOF berkata harga terbaru itu ditetapkan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.
“Walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi. Sepanjang tempoh pengiraan APM, harga minyak Brent masih berlegar sekitar AS$100 setong.
“Tekanan harga ini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis. China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan di pasaran antarabangsa.
“Pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global kekal penting bagi mengurangkan konflik di Asia Barat dan Rusia-Ukraine terus menimbulkan risiko terhadap kestabilan bekalan dan harga petroleum dunia,” maklum kenyataan itu.
Harga BUDI95 kekal RM1.99 seliter
Dalam pada itu, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
“Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.67 seliter.
“Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 seliter, bersamaan 57% daripada harga tanpa subsidi.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi,” katanya.
Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula RM2.15 seliter.
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
