Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guru Bahasa Inggeris Dari KV Keningau Terima Anugerah Kepimpinan Dari Menteri Pendidikan Thailand

Aina Munirah
Guru Bahasa Inggeris Dari KV Keningau

Guru Bahasa Inggeris Dari KV Keningau Terima Anugerah Kepimpinan Dari Menteri Pendidikan Thailand

Baru-baru ini, seorang guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek, telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 dalam kategori pendidikan vokasional oleh Chulalongkorn University, Bangkok, Thailand pada Jumaat lalu.

Bertempat di fakulti pendidikan universiti itu, anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Thailand Prasert Jantararuangtong semasa majlis persidangan pendidikan antarabangsa. 

Sebagai juara kategori, Dr. Sirhajwan membawa pulang hadiah berupa trofi anugerah dan sijil yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan sendiri.

Difahamkan, terdapat lima kategori anugerah yang dianjurkan dalam majlis berkenaan.

Antaranya kategori pendidikan sekolah rendah/awal kanak-kanak, pendidikan sekolah menengah, sekolah antarabangsa, eksekutif pendidikan dan pendidikan vokasional.

Seramai lima finalis telah disenaraipendekkan dalam kategori pendidikan vokasional.

Dr. Sirhajwan dipilih sebagai juara bagi kategori ini atas sumbangannya memperkenalkan pembelajaran berasaskan komuniti melalui empat cara iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti.

Melalui pendekatan ini, pasukan pelajar sekolahnya telah berjaya melaksanakan pelbagai khidmat masyarakat dan berjaya mendapat pengiktirafan dari pelbagai agensi seperti Impact Malaysia, CHANGE, Arus Academy, My Starfish Foundation dan Digital Promise yang menganugerahkan geran kepada projek-projek khidmat komuniti yang dikendalikan oleh para pelajar ini.

Dibawah bimbingan Dr. Sirhajwan selaku ketua penyelidikan dan inovasi kolej itu, pasukan teknologi kimpalan mereka berjaya mendapat geran RM 15,000 daripada Impact Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan sebuah bangunan sekolah rendah pada tahun 2025.

Selain daripada itu, para pelajar dari program lain seperi bakeri dan pastri, pengurusan perniagaan, teknologi elektrik, kosmetologi dan teknologi pembinaan telah melaksanakan kempen advokasi literasi kewangan, penyelidikan bersama petani, perkhidmatan rawatan dandan diri di rumah orang tua, kerja-kerja pembaikan perkakas elektrik dan pembaikan rumah lama dengan geran dan dana berjumlah RM 2,000 sehingga RM 10,000.

Berdasarkan dapatan data daripada pendekatan ini, Dr. Sirhajwan mendapati bahawa ianya mampu meningkatkan penglibatan sivik, kebijaksanaan emosi serta daya ketahanan para pelajar manakala komuniti sasaran memberi maklumbalas yang sangat memberangsangkan. 

Menurut Dr. Sirhajwan, dia mendapat ilham melaksanakan pendekatan ini daripada ibunya sendiri, Hajah Bintek Hj Abdul Rahman, yang aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan berkeperluan di Kota Belud iaitu daerah asal Dr. Sirhajwan.

"Anugerah ini untuk ibu saya. Saya datang ke sini kerana dia dan sebelumnya dia memang sakit," kongsinya kepada SK.

Lebih menyentuh hati, beliau dikhabarkan dengan berita duka pemergian ibunda tercinta, beberapa jam sebelum diumumkan penerima anugerah.

Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menzahirkan rasa tahniah kepada Dr. Sirhajwan Idek atas pencapaian ini yang berjaya mencetus motivasi dan penglibatan aktif para pelajar dan guru di kolej itu untuk menyumbang kepada masyarakat sekeliling dan seterusnya membantu memartabatkan pendidikan kolej vokasional.