Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gerhana matahari penuh (total solar eclipse) yang akan berlaku pada 12 Ogos 2026 dijangka akan menarik perhatian pemerhati langit di beberapa bahagian dunia.
Tapi, kalau anda berada di Malaysia dan sudah merancang untuk sama-sama tengok fenomena matahari 'dimakan' bulan, mungkin ini berita kurang best untuk anda.
Gerhana matahari esok tidak dapat dilihat dari Malaysia, malah Kuala Lumpur pun tidak berada dalam kawasan yang boleh menyaksikan gerhana itu.
Gerhana kali ini hanya akan melintasi beberapa kawasan di hemisfera utara, antaranya sebahagian daripada Greenland, Iceland dan Sepanyol serta kawasan terpencil di Artik dan Rusia.
Di kawasan yang berada tepat dalam laluan gerhana, bulan akan berada di antara bumi dan matahari, menyebabkan matahari tertutup sepenuhnya untuk tempoh yang singkat.
Keadaan sekeliling juga boleh berubah dengan mendadak, seperti langit menjadi gelap, suhu menurun dan suasana sekeliling mungkin terasa berbeza bila cahaya matahari berkurang.
Bagi mereka yang berada tepat dalam laluan gerhana penuh, antara pemandangan paling menarik ialah korona matahari, iaitu lapisan atmosfera luar matahari yang biasanya sukar dilihat kerana cahaya matahari terlalu terang.
Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintas di antara matahari dan bumi, lalu bayang-bayang bulan jatuh ke permukaan bumi.
Tapi, bayang-bayang itu tidak meliputi seluruh dunia. Hanya kawasan tertentu yang berada di laluan bayang bulan akan dapat melihat gerhana manakala kawasan yang lebih jauh mungkin hanya melihat gerhana separa atau langsung tidak melihatnya.
Untuk gerhana pada 12 Ogos ini, Malaysia berada di luar kawasan yang boleh melihat fenomena tersebut.
Sebab itu walaupun media sosial mungkin dipenuhi gambar langit gelap dari negara lain, keadaan di Malaysia akan berjalan seperti biasa.
Jangan risau, peminat langit Malaysia tak perlu tunggu beratus tahun sebab gerhana matahari seterusnya yang boleh dilihat dari Malaysia dijangka berlaku pada 2 Ogos 2027.
Bagaimanapun, ia bukan gerhana matahari penuh. Malaysia hanya akan dapat melihat gerhana matahari separa, apabila bulan menutupi sebahagian permukaan matahari.
Di Kuala Lumpur, fenomena itu dijangka bermula sekitar 6:51 petang, mencapai kemuncak sekitar 7:23 malam dan berakhir sekitar 7:26 malam.
Jadi, untuk gerhana esok, kita mungkin hanya mampu tengok gambar dan video dari negara lain, jadi kalau nak saksikan sendiri dari Malaysia, 2 Ogos 2027 boleh masuk dalam kalendar.
Dan satu perkara penting, bila sampai masa untuk melihat gerhana matahari, jangan pandang matahari secara terus.
Cermin mata hitam biasa sahaja tidak memberikan perlindungan yang mencukupi. Gunakan cermin mata khas gerhana matahari atau kaedah pemerhatian yang selamat untuk melindungi mata.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan