Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Keluar bekerja di pejabat merupakan antara rutin harian yang melibatkan interaksi antara rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang.
Hubungan profesional yang baik sering membantu melancarkan tugasan, meningkatkan produktiviti serta mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan saling menyokong antara satu sama lain.
Dalam persekitaran kerja moden, komunikasi yang berkesan dan kerjasama berpasukan amat penting untuk mencapai matlamat organisasi. Rakan sekerja bukan sahaja berkongsi idea dan pengalaman, malah sering menjadi sumber sokongan moral ketika berdepan tekanan kerja atau cabaran tugasan harian.
Bagaimanapun, timbul fenomena seperti "office wife-husband" yang membimbangkan.
Justeru, Jabatan Mufti Negeri Perak tampil mengetengahkan garis panduan pergaulan bagi membendung fenomena ini.
Pendahuluan
Islam membenarkan wanita bekerja untuk mencari rezeki halal malah Nabi SAW memuji wanita yang berdagang seperti Sayyidatina Khadijah ra selagi ianya mematuhi syariat dengan menjaga batas pergaulan dan maruah diri.
Adab ini penting untuk menghindari segala fitnah termasuk isu pergaulan melampau dan hubungan emosi tidak wajar seperti "office wife-husband" yang boleh merosakkan keharmonian rumah tangga.
Istilah “office wife” atau “office husband” merujuk kepada hubungan akrab antara dua rakan sekerja berlainan jantina yang mana mereka berkongsi masalah peribadi, menjadi tempat mengadu dan meluangkan masa bersama seolah-olah pasangan suami isteri.
Hubungan ini sering bermula dengan niat suci ‘berkawan’, tetapi syaitan licik menyelinap masuk melalui celah-celah kelekatan.

Ikhtilat merujuk percampuran lelaki dan wanita bukan mahram yang membawa fitnah seperti sentuhan fizikal atau pergaulan mesra.
Fenomena "office wife-husband" merujuk hubungan emosi sulit di tempat kerja bermula daripada gurauan ringan, berkongsi makanan atau mesej peribadi yang membuka pintu kecurangan emosi.
Ini berbahaya kerana boleh menghancurkan rumah tangga dan Islam sendiri melarang sekeras-kerasnya perkara ini dan termasuk di dalam zina hati.
Firman Allah di dalam al-Quran pada surah al-Isra’ ayat 32:
Perjalanan Malam (17:32)
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
Larangan berdua-duaan (khalwat) antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah bertujuan untuk menjaga maruah diri, agama dan keharmonian masyarakat. Berikut antara lima hikmahnya:
1. Menutup pintu zina (sadd al-zarai')
Berdua-duaan adalah wasilah awal kepada zina melalui rangsangan syahwat, emosi, perasaan dan maksiat hati.
Dengan menutup ruang khalwat, syarak menutup jalan kepada hubungan terlarang, kehamilan luar nikah dan keruntuhan institusi keluarga.
Sabda Nabi SAW:
أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان
Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan. Riwayat al-Tirmizi (2165)

2. Memelihara maruah dan kehormatan diri
Khalwat mudah menimbulkan tuduhan dan sangkaan buruk terhadap kedua-dua pihak, walaupun pada hakikatnya belum berlakunya maksiat.
Larangan ini menjaga nama baik individu, keluarga dan institusi yang mereka wakili daripada fitnah sosial dan media.
3. Menjaga agama dan kekuatan iman
Hadis menegaskan apabila lelaki dan wanita berdua-duaan, syaitan menjadi pihak ketiga yang akan menghasut kepada perbuatan maksiat.
Dengan meninggalkan khalwat, seseorang itu dapat memelihara hati daripada lintasan maksiat, menjaga khusyuk ketika beribadah dan memperkukuhkan keimanan.
4. Menjamin keselamatan fizikal dan psikologi
Berdua-duaan di tempat tersembunyi membuka ruang kepada gangguan seksual, ugutan, pemerasan dan jenayah terhadap wanita atau lelaki.
Larangan khalwat mengurangkan risiko trauma, tekanan jiwa dan lain-lain.
5. Memelihara keharmonian sosial dan sistem hisbah atau undang-undang
Khalwat merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang jenayah syariah negeri dan menjadi punca kepada banyak kes perbuatan tidak sopan dan zina.
Dengan meninggalkan khalwat, masyarakat lebih teratur, hubungan lelaki dan wanita berlaku secara terbuka, profesional, beradab dan memudahkan pemantauan amar makruf nahi munkar.
1. Menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan.
2. Menutup aurat dengan sempurna serta memilih pakaian yang tidak ketat atau menjolok mata.
3. Elak berdua-duaan di ruang tertutup dan mengutamakan ruang terbuka atau adanya pihak ketiga.
4. Menjaga suara seperti tidak menggunakan nada manja yang boleh menggoda, bergurau secara berlebihan dan bercakap sekadar perlu.
5. Elak sentuhan fizikal seperti bersalaman, bertepuk bertampar, bersentuhan dan seumpamanya.
6. Elak gunakan perkataan-perkataan “double meaning” yang boleh menyebabkan salah faham.

1. Hadkan hubungan dengan rakan sekerja bukan mahram kepada urusan kerja sahaja tanpa berkongsi masalah rumah tangga, konflik dengan pasangan atau rahsia peribadi.
2. Elak makan berdua-duaan, pulang bersama, saling bertukar hadiah atau berbalas mesej peribadi di luar waktu kerja.
3. Jaga adab digital seperti tidak menghantar mesej bergurau, emoji romantik, pesanan suara ("voice note") yang beremosi atau perbualan larut malam dengan rakan sekerja.
4. Sekiranya sudah berkeluarga, berilah keutamaan emosi dan sokongan kepada pasangan dan sekiranya wujud keserasian emosi “chemistry” di pejabat, segera menjauhkan diri dan minta pertukaran tugas jika perlu.
5. Organisasi digalakkan menetapkan kod etika ikhtilat, polisi gangguan seksual dan saluran aduan yang selamat.
6. Bagi kes gangguan seksual, hubungi talian hotline rasmi (Talian Kasih) melalui talian bebas tol 15999 atau WhatsApp ke talian 019-2615999 atau menerusi kaedah muat turun aplikasi mobil Talian Kasih di telefon bimbit.
Kesimpulan
Secara tuntasnya perbuatan yang tidak bermoral dan songsang ini boleh mencetuskan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berpotensi membawa mudarat yang lebih besar seperti tergelincir ke dalam maksiat, zina dan kemerosotan sifat mawaddah dan kasih sayang dalam sebuah institusi keluarga.
Perbuatan khalwat ini adalah ruang yang luas bagi syaitan memasuki ruang fikiran, meledakkan nafsu serakah dan merosakkan akhlak terpuji anak Adam serta menimbulkan taufan fitnah.
Oleh itu, marilah sama-sama kita bertaubat kepada Allah SWT, memohon keampunan atas segala kesalahan yang lalu serta berdoa agar dipelihara daripada segala keburukan di dunia dan akhirat seterusnya dikurniakan menjadi hamba-hamba yang soleh dan bertakwa.