Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Empat Pelajar Cedera Terlibat Dalam Kemalangan Di Machang
MACHANG, 11 Mei (Bernama) -- Empat sekeluarga yang juga merupakan pelajar di dua buah sekolah di Machang cedera dalam satu kemalangan yang berlaku pagi tadi.
Kakak mangsa, Mas Asmah Rosli, 19 tahun berkata dia mengetahui mengenai kejadian kemalangan membabitkan dua adiknya itu selepas dihubungi ibu saudara Saripah Ismail, 48, pada 8.01 pagi.
"Adik saya Mohd Muskir Rosli, 14, dan Mas Siti Rosnani Rosli, 7, ketika ini berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami cedera parah pada bahagian paha.
"Manakala, dua lagi anak saudara saya iaitu Mohd Hakikat Ab Rahman, 9, dan Mohd Zulhaqif Mohd Zulkifli, 12, juga mengalami cedera parah pada bahagian paha," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Asmah berkata kesemua mereka ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai.
"Saya dimaklumkan kemalangan tersebut melibatkan motosikal yang dinaiki adik beradik dan anak saudara saya dengan sebuah kereta sewaktu mereka ingin pergi ke sekolah.
"Jarak rumah saya di Kampung Berangan Mek Nab di sini kira-kira enam kilometer dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan," katanya yang menambah motosikal tersebut dipandu Mohd Muskir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan media berhubung kemalangan tersebut akan menyusul apabila laporan disahkan.