Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Emcee Buat Keluarga Pengantin Warga Jepun Terkejut, Siap Disangka Fasih Berbahasa Jepun

Emcee Buat Keluarga Pengantin Terkejut
Kredit: Threads @alvinmy

Bila dua budaya bertemu dalam sebuah perkahwinan, bukan pengantin sahaja yang perlu menyesuaikan diri, malah kedua-dua keluarga juga perlu membiasakan diri dengan bahasa dan budaya yang berbeza.

Apabila menerima tetamu dari luar ke dalam keluarga, macam-macam cara boleh dilakukan untuk membuatkan mereka rasa dialu-alukan, termasuklah bercakap dalam bahasa mereka.

Itulah yang berlaku dalam sebuah majlis perkahwinan di Ranau, Sabah apabila seorang emcee mengumumkan ketibaan keluarga pengantin perempuan warga Jepun dalam bahasa Jepun.

Menerusi satu hantaran di Threads, Alvin Mahathir Yunus atau nama penggunanya @alvinmy menjadi juruacara di sebuah majlis perkahwinan yang menggabungkan budaya antara dua negara, Malaysia dan Jepun.

Menurutnya, majlis perkahwinan berkenaan telah berlangsung di Ranau, Sabah, dengan pengantin lelaki merupakan anak tempatan manakala isterinya berasal dari Jepun.

Pada video tersebut, sebaik sahaja Alvin mula bercakap dalam bahasa Jepun, ibu pengantin perempuan jelas terkejut manakala abang pengantin perempuan pula hanya tersenyum.

"Terkejut ibu pengantin perempuan emcee cakap Jepun. Abang pengantin perempuan pun senyum-senyum," katanya di ruangan kapsyen.

Lebih menarik, keluarga pengantin perempuan yang terdiri daripada ibu bapa dan abangnya turut memperlihatkan budaya mereka ketika berada di majlis tersebut.

Setiap kali nama mereka disebut, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat. Malah, ketika dijemput untuk berarak masuk, ketiga-tiga mereka turut menundukkan badan di hadapan gerbang sebelum melangkah masuk.

Sementara itu, menerusi satu hantaran berbeza, Alvin menjelaskan bahawa pihak pengantin lelaki berbangsa Dusun itu membuat permintaan khas agar dia menyelitkan sedikit bahasa Jepun dalam skrip pengacaraan.

Emcee Buat Keluarga Pengantin Warga Jepun Terkejut

"Kali ini dapat emcee job yang istimewa, pengantin perempuan asal dari Jepun. Pengantin lelaki pula bangsa Dusun, dari Ranau, Sabah. Diorang jumpa di Jepun.

"Keluarga pengantin lelaki request saya selit skrip dalam bahasa Jepun sebab keluarga pengantin perempuan hanya tahu sedikit Bahasa Inggeris.

"Setiap acara, saya akan selit satu perenggan/ayat dalam bahasa Jepun supaya ibu bapa dan abang pengantin tahu apa yang sedang berlaku," ujarnya.

Dalam pada itu, Alvin turut menjelaskan bahawa mana-mana acara yang melibatkan keluarga pengantin perempuan, dia akan menggunakan bahasa Jepun.

"Untuk persilakan keluarga pengantin perempuan turun dan naik pentas juga dalam bahasa Jepun. Syukur ChatGPT memudahkan kerja terjemahan," jelasnya.

Di penghujung majlis, ibu pengantin perempuan turut bertemu dengan Alvin dan cuba berbual dengannya, mungkin menyangka dia benar-benar fasih berbahasa Jepun.

"Pada akhir majlis, ibu pengantin perempuan datang jumpa saya dan cuba berbual dalam bahasa Jepun, mungkin dia sangka saya pandai cakap Jepun.

"Tapi saya sudah belajar cara reply yang saya hanya faham sikit dan tidak mahir bertutur," katanya.

Bapa pengantin perempuan juga sempat bertemu dengan Alvin untuk mengucapkan terima kasih atas ucapan dalam bahasa Jepun itu, malah memuji kefasihannya berbahasa Jepun.

"Ketika lain juga, bapa pengantin perempuan pula datang dan tunjuk hpnya, ada teks "Terima kasih. Bahasa Jepun awak sangat baik", tulis Alvin.

Intipati
  • Video Alvin mengacarakan majlis perkahwinan dalam bahasa Jepun tular di media sosial.
  • Majlis di Ranau itu melibatkan pengantin lelaki Dusun dan pengantin perempuan dari Jepun.
  • Alvin berkata keluarga pengantin lelaki meminta skrip Jepun kerana keluarga pengantin perempuan kurang berbahasa Inggeris.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan