Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

DUN Johor Bubar Hari Ini
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya negeri.
Beliau berkata, keputusan pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada pagi tadi.
“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa hari ini selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi.
"Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh,” kata beliau pada sidang media di Kediaman Menteri Besar Johor, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap perpaduan, keharmonian dan semangat muafakat dalam kalangan rakyat Johor akan terus dipelihara.
“Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyat serta dikurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan,” tambah beliau.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh majoriti besar apabila memenangi 40 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula meraih 12 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi.