SEPANG, 23 Okt (Bernama) -- Dua warga China masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki rokok seludup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jun lepas.
Majistret Suriani Ujang menjatuhkan hukuman itu selepas Zhang Yaojun, 48, dan Zou Xinyi, 40, mengaku bersalah, dan memerintahkan tempoh penjara bermula dari tarikh tangkap, iaitu 26 Jun.
Mahkamah turut mengarahkan Zhang dan Zou membayar duti import masing-masing berjumlah RM9,200 atau dihukum penjara sebulan, jika gagal berbuat demikian.
Zhang didakwa memiliki 149 karton rokok atau bersamaan 29,800 batang rokok yang bernilai RM4,470 dengan taksiran duti import berjumlah RM20,770.60.
Zou pula dituduh memiliki 311 karton rokok bersamaan dengan 62,200 batang rokok bernilai RM9,330 dan taksiran duti import RM43,353.40.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang KLIA Terminal 1 pada 6 petang 26 Jun dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih besar dan maksimum 20 kali ganda nilai atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA Shahrul Amin Shahrul Nizam manakala peguam Soon Sen Yang mewakili dua warga China itu.
Soon memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas faktor tanggungjawab kepada keluarga dan beban kewangan ditanggung mereka.
“Zou ialah ibu tunggal dan bertanggungjawab penuh menyara anak lelaki yang berusia 10 tahun manakala Zhang mempunyai dua anak masih bersekolah dan isterinya terlibat kemalangan beberapa bulan lepas,” katanya.

