Dua beranak berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan selepas rumah mereka di Lorong Masjid, Cherok Tok Kun Bawah di sini terbakar awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.28 pagi.
Rumah separa kekal musnah 80 Peratus
Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separa kekal berkeluasan 30 x 50 kaki persegi yang musnah kira-kira 80 peratus.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ musnah kira-kira 85 peratus.
“Kesemua penghuni terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan sebelum ketibaan pasukan bomba,” menurut kenyataan itu.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dengan bantuan BBP Bandar Perda dikejarkan ke lokasi bersama jentera LFRT, FRT dan lori tangki air bagi menjalankan operasi pemadaman.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak pada 5.45 pagi.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kerja-kerja overhaul kemudian dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa bara api yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan ditamatkan sepenuhnya pada 7.22 pagi.

