Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membuka bidaan bagi dua aset kesayangannya, iaitu motosikal Honda X ADV dan ikan tilapia ternakan, bagi membantu menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 seperti yang diperintahkan mahkamah.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah simpanannya yang masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan bayaran berkenaan.
Menurutnya, beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul sepenuhnya tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut.
Dr Akmal turut menghargai sokongan orang ramai yang menitipkan kata kata semangat dan doa, termasuk cadangan untuk membuka tabung sumbangan bagi membantunya menyelesaikan bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk berusaha sendiri terlebih dahulu dengan menjual aset miliknya sebelum menerima bantuan daripada orang lain.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi,” tulisnya.
Beliau berkata, motosikal Honda X ADV dan ikan tilapia ternakannya merupakan dua aset yang telah selesai dibayar dan boleh dijual bagi mengumpulkan wang untuk menjelaskan tanggungjawab tersebut.
“Inilah dua aset yang telah habis dibayar dan boleh saya jual. Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini,” katanya.
Bidaan Dibuka Kepada Yang Berminat
Bagi mereka yang berminat menyertai bidaan, Akmal memaklumkan bahawa deposit sebanyak RM100 perlu dimasukkan ke akaun yang dinyatakan.
Resit pembayaran kemudiannya perlu dihantar bersama maklumat aset yang ingin dibida serta jumlah tawaran yang dikemukakan.
Deposit itu akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan dan mendoakannya.
Dr Akmal juga meminta orang ramai agar tidak berasa serba salah sekiranya tidak mampu membeli aset berkenaan atau memberikan bantuan kewangan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Akmal membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnah berhubung kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

