Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Doktor Kesayangan Ramai 'Pergi' Buat Selamanya, Perkongsian Rakan Setugas Undang Sebak
Umum ketahui, doktor merupakan individu yang bertanggungjawab merawat pesakit serta menjadi tempat masyarakat bergantung harap ketika berdepan masalah kesihatan dan saat-saat sukar dalam kehidupan.
Namun, di sebalik tugas mereka menyelamatkan nyawa dan menjaga orang sakit, doktor juga hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari daripada ujian, kesakitan serta ketentuan Ilahi.
Setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya dan tiada siapa yang mampu menghalang takdir apabila sampai waktunya.
Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian menyentuh hati di media sosial mengenai pemergian seorang Pakar Pediatrik KMI Kuantan Medical Centre (KMC) yang bernama Dr. Siti Noor Ali Shibramulisi.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @_ahmadreefqee di Threads, individu tersebut berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarhamah yang tetap melayan permintaan rakaman video ucapan sempena Nurses Day walaupun berada dalam keadaan penat dan sibuk menguruskan pesakit.
Menurutnya, rakaman tersebut dibuat sekitar 5 Mei lalu, iaitu kira-kira 10 hari sebelum pemergian Allahyarhamah.
“Hari demi hari keadaan beliau semakin merosot sehingga dimasukkan ke wad untuk close monitoring. Kami di ED menjadi saksi bagaimana seorang doktor yang dahulunya ceria dan sentiasa kuat mula menahan kesakitan,” tulisnya.

Tambah @_ahmadreefqee lagi, walaupun sedang berdepan masalah kesihatan, Allahyarhamah tetap meneruskan tanggungjawab menjaga pesakit kanak-kanak dengan penuh kasih sayang dan komitmen.
Beliau turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang doktor yang sangat disenangi oleh staf hospital serta ibu bapa kepada pesakit kerana sentiasa mengambil berat dan menjadi tempat mereka berkongsi kerisauan mengenai anak-anak.
Selain itu, Allahyarhamah juga dikenali sebagai seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira untuk membantu rakan setugas walaupun dihubungi pada lewat malam atau awal pagi.
“Beliau juga sangat pemurah, sering berkongsi rezeki dengan staf ED dan tidak pernah berkira membantu walaupun dihubungi pada jam 3 atau 4 pagi untuk noted case,” katanya lagi.

Perkongsian daripada @_ahmadreefqee itu turut mengundang sebak dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Malah, ramai turut menyifatkan jasa dan pengorbanan Allahyarhamah sebagai seorang doktor akan sentiasa dikenang oleh pesakit, rakan setugas serta ahli keluarga.
Terdahulu, Allahyarhamah dilaporkan meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser usus yang dihidapinya sejak Julai 2024 dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, Kuantan.
"Baiknya dia. Walau dah berhari-hari pemergian, orang masih lagi bercakap tentang kebaikan yang dia dah buat. Semoga syurga buat doktor Siti Noor. Amin," tulis seorang warga maya.
"Al-Fatihah. Beliau sakit tak lama ye. Dalam video ni nampak masih aktif lagi. Masya Allah, semoga dikurniakan syurga Firdaus tanpa hisab," komen seorang lagi warga maya.
